Najib jelaskan kenapa lantik diri sendiri PM, menteri kewangan

Hari ini pertama kali dalam sejarah Peguam Negara, Tommy Thomas menyoal bekas perdana menteri Najib Razak di mahkamah.

KUALA LUMPUR: Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini beliau melantik dirinya sebagai menteri kewangan kerana mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam bidang perniagaan dan kewangan.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan membela diri terhadap 7 pertuduhan membabitkan dana RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Katanya, beliau dapat membangunkan negara selama 9 tahun sehingga Barisan Nasional (BN) disingkirkan pada pilihan raya umum tahun lalu, kerana pengetahuan dan pengalaman dalam kewangan serta perniagaan.

“Saya tidak bercakap besar tetapi saya telah melakukannya,” katanya ketika disoal balas Peguam Negara Tommy Thomas pada hari ke-62 perbicaraan.

Najib ditanya Thomas kenapa beliau melantik dirinya sebagai menteri kewangan, yang merupakan portfolio berat, dalam masa sama menjadi perdana menteri.

Ahli Parlimen Pekan itu yang merupakan perdana menteri dari April 2009 hingga Mei tahun lalu, berkata beliau bukan yang pertama memegang kedua-dua jawatan pada masa yang sama.

Beliau berkata pendahulunya, Dr Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi juga memegang kedua-dua jawatan tersebut.

Najib berkata dalam kesnya, beliau juga melantik 2 menteri kewangan kedua untuk membantu melakukan kerja-kerjanya.

Najib mula dilantik sebagai menteri kewangan pada 2008 oleh Abdullah. Beliau kemudian menjadi perdana menteri selepas Abdullah meletak jawatan, tetapi terus memegang portfolio kewangan sehingga pilihan raya umum lalu.

Bekas pengerusi BN dan presiden Umno itu berkata ekonomi berkembang sebanyak 5.7% pada tahun 2017, dan mendahului 4 “harimau Asia” pada tahun itu.

“Kami mempunyai pasaran saham paling lama menaik dan Bursa Malaysia menyentuh 1,900 mata. Ringgit stabil,” katanya sambil menambah rakyat mendapat manfaat daripada program kebajikannya.

Najib berkata beliau layak sebagai ahli ekonomi industri walaupun tidak pernah menjadi ahli perniagaan.

“Bagaimanapun, saya mempunyai pengalaman dalam perniagaan dan kewangan sejak saya berkhidmat sebagai menteri besar Pahang pada 1982,” katanya.

Prosiding hari ini dilihat sebagai bersejarah kerana buat kali pertama peguam pegara, yang juga pendakwa raya, menyoal Najib, yang pernah memegang jawatan paling berkuasa.

Najib berkata kedudukan perdana menteri membawa kuasa dan pengaruh yang besar.

“Saya juga boleh melantik sesiapa menduduki pelbagai badan seperti Petronas dan Khazanah Nasional, tetapi kuasa saya tidak mutlak. Ia mesti digunakan secara berhemah,” katanya.

Najib, yang memasuki arena politik pada 1976 selepas kematian bapanya, Abdul Razak Hussein, berkata barisan perdana menteri dalam 20 tahun sebelum ini membuat pelantikan-pelantikan penting dalam sektor ekonomi dan kewangan, berbanding zaman perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman pada 1957.

“Ini perkembangan semula jadi,” katanya.

Najib berkata seorang perdana menteri tidak mempunyai keputusan mutlak dalam pelantikan barisan menteri memandangkan Malaysia mengamalkan politik parti dan pakatan.

“Saya perlu melantik ketua-ketua parti menjadi menteri kanan dan mereka mestilah ahli Parlimen atau senator untuk menjadi anggota Kabinet,” katanya.

Najib berkata beliau memecat bekas timbalannya, Muhyiddin Yassin dan menteri pembangunan luar bandar, Shafie Apdal pada Julai 2015 selepas kedua-duanya membangkitkan isu 1MDB pada umum.

“Saya membenarkan mereka bercakap dalam mesyuarat Kabinet. Tindakan yang saya ambil kerana mereka bercakap di luar, dan mereka dikeluarkan,” katanya.

Najib dituduh menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberikan jaminan kerajaan kepada pinjaman RM4 bilion SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan).

Beliau juga didakwa dengan 3 pertuduhan pengubahan wang haram dan 3 pertuduhan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta ke akaunnya dari bekas unit 1MDB itu.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali diteruskan.