
Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings Sdn Bhd, Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr, 50, berkata pihaknya memerlukan modal berbayar RM10 juta itu sebagai memenuhi syarat minimum berdaftar untuk pembekal arang batu Indonesia bagi kontrak spot TNB Fuel Services Sdn Bhd.
“Bagaimanapun syarikat saya tidak mempunyai modal sebanyak itu di dalam akaun. Disebabkan pihak kami ingin mendapatkan apa-apa projek dan mesti berdaftar dengan TNB Fuel, saya menghubungi kawan-kawan saya termasuk Khalid Mohamad Jiwa sekiranya mereka boleh meminjamkannya modal berjumlah RM10 juta ini.
“Pada asalnya saya meminta pertolongan Khalid untuk mengatur pertemuan dengan Zahid dengan harapan dapat mengurangkan jumlah modal daripada RM10,000,000 kepada RM5,000,000 sahaja. Khalid bersetuju untuk memberi bantuan kepada saya dan beliau mengajak saya berjumpa dengan Zahid,” kata saksi pendakwaan ke-21 itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Maulat Ahmad Zakiuddin.
Wasi berkata demikian semasa membacakan penyataan saksi pada hari ke-11 perbicaraan kes Zahid, yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit.
Katanya, dalam pengetahuan beliau Khalid kenalan rapat kepada Zahid.
Saksi itu juga berkata, beliau bersama Khalid pergi ke pejabat Zahid di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya untuk berjumpa dengannya.
“Perjumpaan ini berlangsung selama kira-kira 20 minit dengan hasrat untuk memberitahu Zahid jika beliau boleh memberikan pendapat tentang pengurangan modal berbayar syarikat dalam projek ini daripada RM10 juta ke jumlah kadar yang lebih rendah.
“Namun, Zahid mengatakan beliau tidak boleh campur tangan dalam urusan dan polisi TNB yang telah ditetapkan. Akan tetapi beliau mencadangkan untuk mengaturkan dari segi kewangan untuk tempoh yang singkat,” katanya.
Beliau berkata sebulan selepas pertemuan itu, beliau diundang secara lisan oleh Zahid sendiri di Taman Tasik Titiwangsa untuk menyuruh beliau hadir ke Parlimen keesokan harinya.
Wasi berkata ketika perjumpaan di Parlimen dengan Zahid, bekas timbalan perdana menteri itu mengarahkan pegawai Affin Bank untuk menyerahkan cek berjumlah RM10 juta dan memberi tempoh sebulan untuk beliau membayar semula pinjaman itu.
“Saya meneliti butir-butir maklumat cek tersebut dan mendapati cek bertarikh 16 Nov 2015 bernilai RM10,000,000 itu dikeluarkan kepada Armada Holdings. Di dalam cek tersebut juga tercatat Yayasan Akalbudi bermaksud cek ini cek yang dikeluarkan oleh Yayasan Akalbudi.
“Sebelum ini Zahid tidak ada memaklumkan kepada pihak saya wang pinjaman yang diberikan kepada pihak saya daripada Yayasan Akalbudi,” katanya.
Tambahnya, selang sebulan selepas tarikh pinjaman itu, beliau membayar balik pinjaman tersebut kepada pihak Yayasan Akalbudi beserta dengan faedah berjumlah RM69,722.65 menggunakan 2 cek CIMB Bank syarikatnya.
“Tujuan cek kedua ini dikeluarkan oleh syarikat saya sebagai bayaran faedah 4% pinjaman RM10,000,000 kepada Yayasan Akalbudi sebagai modal berbayar syarikat bagi mendapatkan projek pembekalan arang batu Indonesia untuk kontrak spot TNB Fuel Services Sdn Bhd sebelum ini.
“Bagaimanapun pihak Armada Holdings tidak berjaya mendapatkan apa-apa projek dengan TNB Fuel,” katanya.
Kepada soalan tambahan oleh Aishah, saksi itu memberitahu Khalid tidak mempunyai sebarang peranan dalam syarikatnya dan hanya sebagai seorang sahabat.
Aishah: “Benarkah Khalid kenalan akrab dengan Zahid?”
Wasi: “Ya.”
Aishah: “Bagaimana anda tahu tentang perkara ini?”
Wasi: “Umum mengetahui Ahmad Zahid dan Khalid adalah sahabat lama.”
Terdahulu, bekas pegawai khas Zahid, Wan Ahmad Wan Omar berkata beliau melihat ketuanya itu menandatangani sekeping cek atas nama Yayasan Akalbudi bernilai RM100,000 untuk diserahkan kepada syarikat TS Consultancy & Resources.
Wan Ahmad, berkata Zahid menandatangani cek itu selepas beliau memaklumkan TS Consultancy & Resources sedang mengalami masalah kewangan kerana peruntukan bajet untuk pengurusan syarikat itu tidak diterima daripada ibu pejabat Umno seperti sepatutnya.
Katanya, selepas mendengar aduan beliau, Zahid memanggil pegawai khasnya, Mejar Mazlina Mazlan dan mengarahkan Mazlina untuk menyediakan sekeping cek bernilai RM100,000.
“Saya melihat sendiri Zahid menurunkan tandatangan beliau pada cek itu di hadapan saya.
“Selepas menerima cek bernilai RM100,000 daripada Zahid, saya menyerahkan cek tersebut kepada pegawai saya iaitu Sabri Said,” kata saksi pendakwaan ke-18 itu pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali.
Zahid, 66, menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.