Bekas pemimpin PKR dipecat kerana surat SPRM kemuka rayuan

Bekas pemimpin PKR dipecat kerana surat SPRM kemuka rayuan

Zakaria Abdul Hamid masih menaruh harapan partinya akan memberi peluang kepada beliau membela diri.

Bekas ahli majlis pimpinan pusat PKR, Zakaria Abdul Hamid.
PETALING JAYA:
Bekas ahli majlis pimpinan pusat PKR, Zakaria Abdul Hamid hari ini secara rasmi mengemukakan surat rayuan kepada lembaga rayuan parti untuk menimbangkan dan menarik balik pemecatannya.

Surat rayuan itu diserahkan ke ibu pejabat PKR pada 3.10 petang tadi. Dia masih menaruh harapan partinya akan memberi peluang kepada beliau membela diri.

“Saya berharap lembaga rayuan memanggil saya untuk memberi keterangan, tidak seperti lembaga disiplin yang sebelum ini mengenepikan proses asas pendengaran terhadap tertuduh,” katanya kepada FMT.

Dia juga terkilan dengan tindakan Setiausaha Agung Saifuddin Nasution yang mendedahkan kesnya kepada media masa dan perwakilan di kongres nasional tahunan parti itu pada Ahad lalu sebelum tempoh rayuan berakhir.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim pada 30 Nov lalu terbuka sekiranya Zakaria, yang dipecat berdasarkan surat yang dihantar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada parti itu, mahu membuat rayuan.

Meskipun SPRM mengakui terkhilaf mencadangkan tindakan tatatertib terhadap Zakaria, Anwar mempertahankan keputusan partinya.

“Kandungan surat itu adalah serius. Ia tidak cukup untuk pendakwaan, tetapi mereka beritahu kami untuk mengambil tindakan dan tunjukkan bukti,” katanya Anwar.

Zakaria bagaimanapun berkata SPRM sendiri mengesahkan tiada pendakwaan akan dibuat terhadapnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.