
Pengerusinya, Ahmad Kassim berkata, setakat ini beliau hanya membaca kenyataan ketua penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mencadangkan tindakan itu.
“Baca di internet saja. Tak terima lagi. Tak sampai dekat saya lagi.
“Ini urusan parti, nanti kita maklumkan kepada media,” katanya kepada FMT.
Selasa lalu, Shamsul berkata beliau akan mencadangkan tindakan tegas dan keras terhadap Zuraida berhubung kenyataannya pada satu majlis makan malam di ibu negara selepas Kongres Nasional Tahunan parti itu tamat.
Shamsul berkata, Zuraida bertindak melampau dengan mencaci dan menghina beberapa pemimpin PKR pada majlis itu, serta serangan terhadap peribadi pengarah komunikasi parti itu, Fahmi Fadzil dan ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Zuraida juga dikatakan bersikap bongkak dengan “membongkar” beberapa perkara yang dikatakan merupakan perbualan beliau dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Shamsul berkata isi butiran perbincangan dengan Anwar adalah suatu amanah yang tidak sewajarnya didedahkan kepada khalayak umum.
Dalam pada itu, Shamsul enggan mengulas kenyataan ketua penerangan Wanita PKR, Syarul Ema Rena Abu Samah yang menyifatkan cadangannya itu sebagai “batu api”.
Shamsul berkata beliau belum membaca kenyataan Syarul Ema lagi.
“Saya tak baca kenyataan itu, saya tak pasti,” katanya kepada FMT ketika ditemui pada Majlis Penganugerahan Sijil Anugerah Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (Impac) kali ke-7. di sini.
Majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 itu menyaksikan Zuraida bersama Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali menyampaikan ucapan yang berapi-api, menempelak beberapa individu dalam PKR selepas selesainya kongres nasional parti itu di Melaka.
Kongres yang diadakan ditengah-tengah perselisihan antara Azmin dan Anwar itu dicemari kejadian pergaduhan dan rasa tidak puas hati Azmin dan sekutu beliau terhadap dengan kandungan ucapan perwakilan.
Majlis makan makan turut disertai naib presiden PKR Tian Chua; timbalan ketua Wanita, Daroyah Ali dan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), termasuk Amirudin Shaari, Sivarasah Rasiah, Mohd Rashid Hasnon.