Letusan gunung berapi di NZ: Angka kematian meningkat kepada 8

Letusan gunung berapi di NZ: Angka kematian meningkat kepada 8

9 lagi mangsa yang masih terperangkap di White Island, secara tidak rasmi dianggap sudah mati.

Usaha mencari baki mangsa yang terperangkap di White Island terbantut ekoran kebimbangan berlaku lagi letusan gunung berapi di situ. (Gambar AP)
AUCKLAND:
Angka kematian rasmi akibat insiden letusan gunung berapi di White Island, New Zealand baru-baru ini meningkat kepada 8 orang hari ini, dengan usaha mencari baki mangsa yang terperangkap di pulau itu terbantut ekoran kebimbangan berlaku lagi letusan.

Polis berkata 2 mangsa disahkan meninggal dunia di hospital semalam, menjadikan angka kematian terbaru kepada 8 orang, dengan 9 lagi mangsa yang masih belum temui di pulau berkenaan, secara tidak rasmi dianggap sudah mati.

Mangsa terselamat yang dibawa ke hospital kebanyakannya sedang
bertarung untuk terus hidup kerana mengalami kelecuran teruk di seluruh badan.

“Polis kekal fokus untuk memberi sokongan kepada keluarga mangsa ketika ini,” kata pihak polis dalam kenyataan.

Pegawai kesihatan semalam memberitahu 22 mangsa berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan.

Australia dan Amerika Syarikat menghantar kulit tambahan 1.2 juta sentimeter persegi (1,300 kaki persegi) untuk mencantumkan kulit mangsa yang cedera teruk.

Seramai 47 orang pelancong dan pemandu pelancong berada di pulau itu semasa letusan berlaku, antaranya dari Australia, Amerika Syarikat, Britain, China, Jerman dan Malaysia.

Mereka yang tidak ditemui dianggap masih berada di pulau berkenaan dan pasukan penyelamat sudah berada di Whakatane yang terletak berhampiran White Island, tetapi masih belum dapat berlepas ke pulau tersebut ekoran tahap bahaya di sana masih belum berkurangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.