Inkues 3 lelaki ditembak mati di Batu Arang ditetapkan 22 Dis

Thavaselvan Govindasamy, Janarthanan Vijayaratnam dan Maghendran Santhirasegaran maut dalam kejadian tembak-menembak di Batu Arang.

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen Shah Alam menetapkan 22 Dis untuk memulakan inkues untuk menyiasat kematian 3 lelaki yang ditembak polis di Batu Arang, 3 bulan lalu.

Inkues itu diadakan di tengah-tengah dakwaan kes kehilangan individu dan percanggahan fakta oleh polis serta keluarga suspek yang terlibat.

Thavaselvan Govindasamy, abang iparnya warganegara Sri Lanka, Janarthanan Vijayaratnam dan Maghendran Santhirasegaran meninggal dunia selepas berlaku kejar-mengejar dengan polis sejauh 7km yang berakhir di Jalan Batu Arang pada 14 September.

Bagaimanapun, ahli keluarga mempertikaikan versi polis berhubung kejadian itu dan mendakwa seorang wanita yang dikatakan hilang ada bersama 3 lelaki tersebut.

Mereka berkata isteri Janarthanan, Moganambal Govindasamy, berada di dalam kereta itu ketika mereka ditembak.

Kehadiran Moganambal tiada dalam laporan polis, walaupun polis kemudiannya menggesa orang ramai membantu mereka mengesan wanita tersebut.

Polis berkata kejadian tembak-menembak di Bandar Country Homes pada 14 September itu berlaku selepas lelaki terbabit enggan menyerah diri.

Polis berkata lelaki itu tidak mengendahkan arahan mereka menyebabkan berlaku kejar-mengejar dan suspek melepaskan tembakan ke arah polis, memaksa mereka membalas tembakan tersebut.

Polis pada mulanya berkata lelaki itu disyaki perompak. Mereka kemudian berkata Thavaselvan dan Maghendran adalah ahli kumpulan kongsi gelap, sementara Janarthanan telah tamat visanya – dakwaan yang dinafikan keluarga.

Balu Thavaselvan, Jasminder Kaur menuduh polis berbohong mengenai versi kejadian itu dan mendakwa suaminya dipukul sebelum kematiannya.

Sementara itu, peguam P Uthayakumar, yang mewakili keluarga Thavalselvan dan Janarthanan, juga mempersoalkan ketiadaan bukti untuk menyokong dakwaan polis bahawa berlaku kejadian tembak-menembak dan kejar-mengejar.

Beliau mempersoal sama ada terdapat video papan pemuka atau keputusan bedah siasat untuk menyokong dakwaan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmad berkata semua pihak yang terlibat termasuk pegawai polis berpangkat dan kakitangan akan dipanggil untuk memberi keterangan pada inkues itu.