
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata tindakan itu susulan laporan diterima pihaknya pada Khamis lepas yang mendakwa kandungan berkenaan dibuat bagi menjejaskan imej Mais dan Jais.
“Pengadu mendakwa bahawa kandungan video tersebut adalah fitnah kerana melemparkan tuduhan rasuah serta penggunaan imuniti istana yang dilihat sengaja dibuat bagi menjejaskan imej Mais dan Jais,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selain memohon kerjasama orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan komen yang menggugat keharmonian serta ketenteraman awam.
Sebelum ini, Setiausaha Mais Mohd Sabirin Mohd Sarbini dilaporkan berkata pihaknya memandang serius penularan sebuah video menerusi TikTok yang mengaitkan kononnya berlaku isu tunggakan bayaran serta salah urus melibatkan Mais membabitkan projek sebuah masjid di Subang.
Beliau berkata dakwaan dalam hantaran tersebut yang mengaitkan Mais dengan penggunaan imuniti istana serta unsur rasuah sehingga menyebabkan pembayaran tidak diselesaikan kepada pengadu adalah tidak berasas dan bersifat fitnah.