
PETALING JAYA: Peguam yang mewakili keluarga mendiang Altantuya Shaariibuu menggesa siasatan segera dilakukan berhubung dakwaan terbaru terhadap Najib Razak berkait kes pembunuhan wanita tersebut pada 2006, sementara sumber yang rapat dengan bekas perdana menteri itu mendakwa ia merupakan satu konspirasi untuk memenjarakan beliau.
Ini susulan laporan bahawa Azilah Hadri, salah seorang bekas polis yang dijatuhi hukuman mati kerana pembunuhan kejam Altantuya, membuat satu akuan berkanun (SD) dari dalam penjara mendakwa Najib memberi arahan kepada mereka supaya melakukan pembunuhan tersebut.
Antara lain Azilah berkata bahawa Abdul Razak Baginda, bekas kekasih Altantuya yang dilepaskan daripada tuduhan membunuh, dan pegawai kanan polis Musa Safri, maklum tentang “arahan” daripada Najib itu.
“Pendedahan oleh Azilah dalam SD beliau sangat mengejutkan dan keluarga Altantuya akan membuat permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk menjadi pemerhati dalam semakan mahkamah ke atas permohonan tersebut,” kata Ramkarpal Singh yang mewakili 2 anak Altantuya, bapanya Shaariibuu Setev dan isteri beliau.
Mereka menuntut ganti rugi daripada Azilah, rakan jenayahnya Sirul Azhar Umar, Razak Baginda dan kerajaan Malaysia.
Sirul kini ditahan di pusat tahanan imigresen Australia sejak 3 tahun lepas selepas melarikan diri ke negara berkenaan.
Pihak berkuasa Australia tidak menghantar pulang pencari suaka yang berdepan hukuman mati.
Najib hari ini menolak dakwaan Azilah dengan menyifatkannya sebagai langkah terdesak orang yang berdepan hukuman mati.
“Kenapa maklumat ini tidak ditimbulkan sebelum ini, tetapi hanya sekarang, lebih sedekad selepas kematiannya (Altantuya) dan selepas 19 bulan PH berkuasa?” soal Najib, dengan menambah bahawa ia juga adalah percubaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengalih perhatian orang ramai daripada kegagalannya.
Azilah dan Sirul merupakan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) polis ketika ditangkap kerana membunuh Altantuya, wanita warga Mongolia yang dikatakan mempunyai hubungan dengan Abdul Razak Baginda.
Kes pembunuhan ini turut dikaitkan dengan pembelian 2 kapal selam kelas Scorpene buatan Perancis pada 2002 dan suapan yang diterima oleh Razak, yang merupakan pembantu Najib, iaitu menteri pertahanan ketika itu.
Dalam perbicaraan kes tersebut, mahkamah diberitahu bahawa beliau (Altantuya) dibunuh di kawasan hutan di Shah Alam pada 2006 dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan.
Najib berulang kali menolak dakwaan penglibatan beliau dalam pembunuhan tersebut.
Ramkarpal berkata, keluarga Altantuya akan meminda saman sivil mereka bagi memasukkan dakwaan terbaru yang terkandung dalam SD Azilah dan juga apa-apa dapatan baru yang mungkin diperolehi daripada siasatan polis.
“Keluarga Altantuya tidak akan menyerah kalah sehingga motif dan personaliti di belakang pembunuhan beliau didedahkan dan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Menurut sumber yang rapat dengan pasukan pembela, peguam yang mewakili Najib tidak terkejut dengan dakwaan tersebut.
Sumber bgaimanapun memberitahu, kandungan SD Azilah boleh digunakan sebagai alasan untuk menahan Najib tanpa ikat jamin.
“Mereka tidak boleh membiarkannya terus bercakap dan mendedahkan kelemahan PH di media sosial dan dalam ceramah yang dianjurkan di seluruh negara,” kata sumber kepada FMT.
Najib, yang kini berdepan perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi dibebaskan dengan ikat jamin.
Beliau yang melepaskan jawatan dalam Umno berikutan kekalahan dalam pilihan raya umum tahun lepas dilantik sebagai penasihat Barisan Nasional (BN) dan aktif berkempen untuk gabungan politik itu.
Sumber yang sama mendakwa Sirul juga “telah dihubungi” dengan tujuan “mengada-adakan keterangan untuk mengenakan Najib secara tidak jujur”.
Beliau menamakan “pemberita jelik dari Australia” sebagai individu yang ditugaskan untuk tujuan itu dengan menambah bahawa individu berkenaan “dihantar” ke pusat imigresen di mana Sirul ditahan.
“Tujuannya ialah untuk memujuk Sirul supaya mengada-adakan cerita serupa,” kata sumber itu lagi.
Dalam pada itu peguam Azilah menjarakkan dirinya daripada dakwaan terbaru itu.
“Ini berita baru bagi saya. Saya tidak ada kena-mengena dengan SD berkenaan atau pemfailan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan. Kali terakhir saya bertemu Azilah di Penjara Kajang ialah 3 tahun lepas,” Hazman Ahmad memberitahu FMT.
Hazman berkata, beliau hanya bertanggungjawab menyediakan dokumen undang-undang berkait rayuan pengampunan kepada Lembaga Pengampunan Selangor.
“Kami masih menunggu lembaga menetapkan tarikh pendengaran,” katanya.
Lembaga berkenaan, yang dipengerusikan oleh sultan Selangor, turut dianggotai oleh peguam negara dan menteri besar.