
KUALA LUMPUR: Bekas menteri kewangan II, Johari Abdul Ghani hari ini berkata terdapat 3 isu yang mengurangkan keyakinan pelabur dan menjejaskan ekonomi.
Johari berkata isu pertama adalah serahan kuasa.
Ketidakpastian dalam hal serahan kuasa menyebabkan ketidakpastian dalam pasaran, katanya dalam artikel di The Edge Weekly.
“Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berumur 94 tahun, dan orang ramai tidak tahu siapa ketua seterusnya. Orang yang dikatakan perdana menteri menanti, Anwar Ibrahim pun tak pasti,” katanya.
Beliau menarik perhatian kepada perselisihan antara Anwar dan Azmin Ali, menteri hal ehwal ekonomi dan timbalan presiden PKR.
“Pendek kata, semua orang bergaduh,” katanya.
Keadaan itu mengundang banyak ketidakpastian, dengan banyak “suara-suara politik di luar sana”, menyebabkan persekitaran perniagaaan tidak lagi kondusif, terutama untuk pelabur asing.
Dalam persekitaran seperti itu, katanya, pelabur akan mengambil sikap tunggu dan lihat, sikap yang tidak bagus untuk ekonomi.
Isu kedua pula adalah terdapat banyak ketidaktentuan dasar.
“Contohnya, perolehan konsesi-konsesi tol dan lebuhraya tertentu mungkin meningkatkan hutang kerajaan. Ini tidak konsisten dengan agenda kerajaan mengurangkan hutang langsung.
“Satu lagi contoh, penggantungan projek-projek prasarana besar, yang kemudian, selepas beberapa ketika, diteruskan semula.”
“Pelabur yang membeli kepentingan dalam syarikat-syarikat terbabit – memikirkan mereka akan membuat kontrak-kontrak yang dianugerahkan dan menerima keuntungan yang tetap dalam tahun-tahun mendatang – akan menjual saham-saham mereka selepas arahan henti tugas dikeluarkan, memikirkan kontrak-kontrak itu sudah dibatalkan.
“Tetapi kemudian, kontrak-kontrak itu dianugerahkan semula. Ini salah satu impaknya, orang ramai mengalami kerugian.”
Johari menarik perhatian kepada perubahan drastik sistem cukai, apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Selepas pertukaran itu, katanya, timbul pula keperluan mengadakan cukai-cukai kecil seperti cukai digital dan cukai gula.
“Semua cukai baru itu diperkenalkan tidak kena masanya – semasa orang ramai mengalami keadaan sukar, cukai gula dan sebagainya dilaksanakan. Semua faktor ini juga membawa kepada kurangnya keyakinan di pihak pelabur.”
Isu ketiga pula, katanya, proses membuat keputusan yang tidak jelas.
“Maklum balas yang saya terima daripada mereka di komuniti perniagaan adalah mereka keliru siapa yang membuat keputusan di peringkat kerajaan. Adakah menteri hal ehwal ekonomi, menteri kewangan, Pejabat Perdana Menteri atau Majlis Penasihat Kerajaan (CEP)?
“Walaupun CEP sudah dibubarkan, ramai orang dalam komuniti perniagaan percaya ia masih wujud. Malah beberapa orang di pengurusan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang saya temui fikir CEP yang membuat keputusan dan masih berpengaruh.
“Memburukkan lagi keadaan, kita ada menteri-menteri tidak berpengalaman yang tidak dapat bekerja dengan penjawat-penjawat awam kanan dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan. Terdapat pergaduhan antara menteri-menteri dan ketua-ketua setiausaha. Mereka nampaknya saling bercanggah.”
Antara impak daripada keadaaan itu, katanya, pelabur jangka masa panjang akan kurang yakin untuk mengatur pelaburan mereka kerana sikap tunggu dan lihat.
“Daya saing kita di rantau ini jadi kebimbangan. Aliran keluar bersih dana dalam 18 bulan kebelakangan ini bersamaan lebih RM20 bilion. Itu jumlah yang banyak,” katanya.
Impak kedua pula ialah keperlahanan dalam potensi pertumbuhan ekonomi.
“Tiada pendahulu dalam pasaran modal, tiada apa yang dapat dibanggakan. Bursa Malaysia menurun, daripada 1,800 mata kepada bawah 1,600 mata,” katanya.
Menurut Johari, pertumbuhan pinjaman perlahan, pasaran hartanah merosot, sektor-sektor tertentu mati, dan ramai kontraktor bawah skim perumahan PR1MA belum dibayar.
Beliau meramalkan dari masa ke masa, isu-isu ini akan mengakibatkan pengganguran dan kos sara hidup meningkat, dan pasti mengurangkan kuasa perbelanjaan rakyat.
“Jika hal ini berterusan, pasaran akan terus menurun dan pada satu ketika ia akan jadi murah, kemudian sangat murah – hanya ketika itu pelabur masuk. Tetapi, pada asasnya, kita perlu mulakan semula enjin untuk bangkit semula.
“Dari skala 1 hingga 10, kerajaan Pakatan Harapan menunjukkan prestasi bawah tara di bidang-bidang tertentu – ekonomi, pembangunan, dasar, tumpuan dan sebagainya. Tapi dari segi tadbir urus, ia lebih baik. Mungkin ia sudah belajar daripada kesilapan lalu,” kata bekas menteri itu.