Bekalan air 4 wilayah Selangor pulih 79.5%

Bekalan air 4 wilayah Selangor pulih 79.5%

Tambahan bantuan ke kawasan terjejas juga dipertingkatkan kepada 73 lori tangki dan 20 lori tangki jumbo.

Penduduk Pangsapuri Sri Tanjung di Subang Jaya dibantu petugas Air Selangor untuk mengangkat bekas tadahan air berikutan gangguan bekalan air yang berlaku hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pemulihan bekalan air di kawasan Petaling, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat yang terjejas ekoran pencemaran bau di Sungai Semenyih mencecah 79.5% setakat 6 petang tadi.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Abdul Halem Mat Som berkata berdasarkan kepada bacaan semasa, pihaknya menjangkakan tempoh pemulihan sepenuhnya mungkin dapat dilakukan lebih awal dari jangkaan.

“Air Selangor mengambil segala inisiatif bagi mempercepatkan proses pemulihan bekalan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurutnya, tambahan bantuan ke kawasan terjejas juga dipertingkatkan kepada 73 lori tangki dan 20 lori tangki jumbo, meneruskan pengaktifan 10 Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang beroperasi 24 jam selain 50 tangki statik.

Pada Sabtu lepas, LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih, berpunca daripada perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu membuang bahan sisa buangan haram di lurang pembentungan sekitar loji milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd.

Susulan penutupan itu 366 kawasan dengan akaun pengguna sebanyak 328,957 di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terjejas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.