
Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata parti itu akan menggerakkan jentera bagi membantu BN pada PRK tersebut.
“PAS akan menghantar pimpinan kanan parti terutama dari Sabah dan Sarawak untuk menghadiri penamaan calon 4 Jan depan sebagai sokongan kepada calon BN.
“PAS juga akan gerakkan jentera pilihan raya terutama dari kawasan di Sabah untuk turun membantu calon BN bagi memastikan Kimanis kekal di tangan pembangkang,” katanya dalam kenyataan.
PAS turut mengesahkan presidennya, Abdul Hadi Awang akan menghadiri majlis pelancaran jentera BN di Kimanis pada 1 Jan.
Takiyuddin yakin rakan politiknya, Umno akan meletakkan calon paling sesuai untuk mempertahankan kerusi Parlimen itu.
“Kemenangan BN dalam PRK Kimanis amat penting bagi menguatkan lagi suara pembangkang di peringkat nasional sebagai semak dan imbang.
“Khususnya dalam isu-isu melibatkan kepentingan rakyat dan Sabah,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Jan depan sebagai hari pengundian dan 4 Jan sebagai hari penamaan calon.
PRK Kimanis diadakan semula selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan kemenangan bekas menteri, Anifah Aman pada PRU14.
Anifah menang tipis, 11,942 undi dengan majoriti 156 undi dalam pertandingan 3 penjuru menentang calon Warisan, Karim Bujang yang mendapat 11,786 undi serta calon Parti Rakyat Sabah, Jaafar Ismail (1,300 undi).
Anifah kemudiannya meninggalkan parti untuk menjadi ahli Parlimen Bebas.