
Ann Nonis tidak mampu menyembunyikan keterujaannya ketika berkongsi persiapan menyambut perayaan tersebut dengan FMT.
Katanya, segala persiapan yang diperlukan sudah selesai dan dia dan suami hanya menunggu ketibaan adik-beradik dan sanak-saudara ke kediaman mereka di Jalan Ipoh.
Ann, 49, menyifatkan sambutan Krismas tahun ini sebagai sambutan dengan dirinya yang baru.
“Ann kali ini adalah Ann dengan semangat, emosi dan kekuatan fizikal yang baru,” katanya.
Menurut Ann, sambutan Krismas tahun-tahun sudah sedikit suram kerana terlalu sibuk memenuhi temu janji dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL), di mana dia menerima rawatan kimoterapi dan radioterapi sejak 2 tahun lalu.
Ann yakin sambutan tahun ini berbeza berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, selain menghidangkan menu tradisi kepada ahli keluarga dan sanak saudara, dia turut menantikan tetamu istimewa pada makan malam Krismas.
“Ianya ‘tetamu’ peribadi saya. Akan ada satu kerusi di meja makan yang saya akan kosongkan untuk tetamu itu,” katanya dengan senyuman terukir.
Apabila ditanya, siapakan gerangan tetamu istimewa itu, Ann menyebut “cinta”.
“Cinta. Kuasa yang paling teragung di dunia.”
Menurut Ann, kerusi khas itu disediakan sebagai tanda terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh keluarga, kakitangan hospital dan sukarelawan yang banyak membantunya melawan kanser.
“Ianya mungkin nampak kosong, tapi kehadiran kasih dan sayang itu, kami akan rasai.”
Sentiasa positif

Ann mengimbau kembali perjalanannya menjalani rawatan di HKL. Dia mengakui pernah berada pada tahap berputus asa dan tidak mahu meneruskan temu janji.
Namun, selepas melihat usaha suami, ibu bapa, keluarga mertua dan sahabat handai yang tidak jemu memberikan sokongan, dia rasa dihargai.
“Kepala rasa nak meletup. Tapi mereka selalu ajar saya berfikiran positif.
“Mudah sahaja, setiap kali saya mula berfikiran negatif, saya tidur dan rehat. Tidak perlu biarkan fikiran serabut.”
Selain terhutang budi kepada suami dan ibu bapa, Ann berkata dia juga terinspirasi dengan rakan seperjuangan di HKL yang bertarung dengan penyakit yang sama.
“Setiap kali saya hadir ke hospital, apabila lalu di hadapan mereka, hati saya tersentuh.
“Wajah-wajah mereka yang setia menanti giliran untuk dapatkan rawatan sedikit sebanyak membantu kuatkan semangat saya,” katanya.
Ann berkata, harapannya pada Hari Natal tahun ini agar rakan seperjuangannya berupaya menyambut perayaan tersebut dengan tetamu istimewa masing-masing.
“Mungkin ‘cinta’, mungkin ‘keberanian’. Tiada yang mustahil.”