‘Sikap negarawan’, wakil MCA puji pendekatan Akmal berkait isu hiasan Krismas

‘Sikap negarawan’, wakil MCA puji pendekatan Akmal berkait isu hiasan Krismas

Bekas Timbalan Menteri Perpaduan Ti Lian Ker berkata ahli politik lain sepatutnya mencontohi pendekatan matang ketua pemuda Umno itu dalam isu sensitif.

ti lian ker n akmal saleh
Ti Lian Ker berkata pendekatan Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh berbeza dengan pihak lain apabila beliau berbincang dengan mufti untuk mengesahkan isu hiasan krismas.
PETALING JAYA:
Seorang bekas menteri perpaduan berkata ahli politik patut mencontohi kenegarawanan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dalam menangani larangan perhiasan Krismas di restoran bersijil halal di Melaka.

Ti Lian Ker berkata, pendekatan Akmal itu wajar dipuji.

“Ahli politik lain patut mengambil maklum. Beginilah caranya menangani isu berkisar sensitiviti budaya dan agama,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, Akmal berani mengambil tindakan berbincang dengan mufti untuk mengesahkan bahawa perhiasan tiada kesan terhadap status halal.

“Kita perlu puji benda yang baik. Tindakan Akmal menunjukkan sikap negarawan,” kata Ti yang juga bekas naib presiden MCA.

Pada Jumaat, tular surat pekeliling didakwa oleh Jabatan Agama Islam Melaka menyatakan larangan hiasan Krismas di premis hotel atau cawangan di negeri itu yang mempunyai sijil halal, memandangkan Krismas adalah sambutan keagamaan bukan kebudayaan dan boleh ‘menimbulkan isu berkaitan akidah’.

Perkara itu dikritik Akmal yang juga Adun Merlimau, selain Adun Ayer Keroh Kerk Chee Yee. Akmal berkata, sekatan seperti itu tidak perlu kerana penentuan halal bagi makanan dan minuman bergantung kepada sumber bahan dan cara penyediaan, bukannya elemen dekorasi di premis.

Pada Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata, tiada larangan dikenakan untuk premis halal menggunakan hiasan perayaan agama lain termasuk Krismas, tertakluk kepada beberapa syarat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.