Banjir di Indonesia ragut 16 nyawa

Pasukan penyelamat Indonesia memindahkan penduduk dari kawasan terjejas di Jatibening, pinggir bandar Jakarta semalam. (Gambar AP)

JAKARTA: Seramai 16 orang dilaporkan terkorban akibat banjir di Jakarta dan bandar berhampiran sejak semalam.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), lebih 30,000 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara setakat 8 pagi tadi kerana rumah mereka dinaiki air sehingga 2m.

Selain beberapa kawasan di ibu negara, kawasan di bandar berhampiran Jakarta seperti Tangerang, Depok, Bekasi dan Bogor turut mengalami banjir semalam susulan hujan lebat pada awal pagi tahun baru 2020.

“Terdapat 16 orang meninggal akibat banjir dengan perinciannya di Jakarta seramai 8 orang, Kota Bekasi (seorang), Kota Depok (3), Kota Bogor (1), Kabupaten Bogor (1), Kota Tangerang (1) dan Tangerang Selatan (1),” kata Ketua Pusat Data, Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Agus Wibowo dalam satu kenyataan.

Mangsa korban antaranya mengalami hipotemia, lemas dihanyutkan arus, tertimbus akibat tanah runtuh dan terkena renjatan elektrik.

BNPB berkata, beberapa kawasan banjir di Jakarta sudah beransur pulih, namun penduduk diminta berjaga-jaga berikutan hujan diramalkan sehingga Khamis ini.

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) berkata, antara punca banjir itu ialah hujan lebat dengan bacaan 377mm sedangkan rekod tertinggi pada 2007 ialah 340mm.

Pusat Pengurusan Trafik Polis Daerah Metro Jaya (Jakarta) menerusi Twitter memaklumkan beberapa jalan utama di Jakarta masih dinaiki air, antaranya di Simpang Cempaka Mas, Jalan S Parman, Jalan Rasuna Said, Jalan Pemuda Rawamangun dan Jalan Gatot Subroto.

Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur yang tidak dapat beroperasi pagi semalam kerana landasan digenangi air juga dijangka kembali beroperasi sepenuhnya hari ini.

Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta meminta rakyat Malaysia di ibu negara itu dan kawasan sekitar mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan menghubungi pihaknya di talian ‭+62 813 80813036‬ untuk mendapatkan bantuan konsular.