Kakitangan ‘tidur’, main telefon dalam video diberi surat tunjuk sebab

PETALING JAYA: Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad berkata 2 pengendali pengimbas haba di klia2 diarah memberikan surat tunjuk sebab selepas didapati tertidur di meja dan sibuk menggunakan telefon bimbit.

Dua kakitangan itu juga diberikan amaran selepas kementerian menyiasat perkara itu.

Video mereka tersebar di media sosial menimbulkan kebimbangan akan kemungkinan pelancong-pelancong yang menghidap penyakit berjangkit menyusup melepasi langkah-langkah yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan, di sebalik ketakutan mengenai wabak influenza dan polio di Sabah.

Video itu diambil pada 26 Dis, pada hari pegunjung musim cuti bergerak ke terminal klia2.

Dzulkefly juga menonton video itu, mengatakan ia memberikan persepsi yang tidak baik.

“Walaupun yang tidur itu saya tidak pasti apa keadaan sebenarnya, saya boleh berbaik sangka kalau dia tidak sihat tetapi yang main telefon itu mungkin kita tak boleh ambil mudah.

“Apapun, secara ringkasnya, kita perlu pertingkatkan disiplin,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Pengimbas haba dipasang di lapangan terbang sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengekang penyebaran penyakit berjangkit, membolehkan kakitangan menghalang mana-mana orang dengan suhu badan melebihi 37 darjah Celcius memasuki negara.

Minggu lepas, 2 kes polio baru dikesan di Sabah melibatkan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dari Kinabatangan dan seorang lagi berusia 8 tahun dari Sandakan.

Ramai orang juga sedang dirawat kerana Influenza A, dan beberapa sekolah ditutup dan hospital melaporkan kekurangan ubat-ubatan virus selesema.