
Kenyataan itu susulan gesaan keluarga beberapa mangsa bunuh dalam sidang media semalam yang mahu Putrajaya mengekalkan hukuman mati mandatori bagi jenayah kejam atau pembunuhan terancang.
Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori berkata, pemansuhan hukuman mati mandatori tidak bermakna hukuman mati akan dihapuskan sepenuhnya.
“Hukuman mati masih akan dilaksanakan jika mahkamah mendapati ia wajar berdasarkan fakta kes.”
Semalam, peguam Christina Teng yang mewakili keluarga mangsa berkata, jika hukuman mati mandatori dimansuhkan, hakim mungkin tidak menjatuhkan hukuman mati kepada penjenayah kerana mereka biasanya akan memilih hukuman lebih ringan.
Katanya, sesi pertemuan jawatankuasa itu dengan keluarga mangsa semalam sekadar “lip service” kerana kerajaan sudah membuat keputusannya.
Keluarga mangsa turut menggesa pungutan suara diadakan sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung pemansuhan hukuman mati.
Jawatankuasa khas yang ditubuhkan pada Ogos tahun lalu berkata, sesi pertemuan semalam ialah sebahagian daripada “proses libat urus holistik”.
“Jawatankuasa khas komited dan fokus terhadap pandangan yang diterima daripada semua pihak berkepentingan melalui sesi pertemuan itu supaya penemuannya boleh dianalisis dan diserahkan kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.”
Katanya, cadangan daripada kajian itu akan diserahkan kepada Kabinet pada suku pertama tahun ini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong dilaporkan berkata, Putrajaya sedang menunggu laporan cadangan alternatif bagi hukuman mati daripada jawatankuasa khas itu.
Katanya, kajian itu termasuk hukuman mati mandatori bagi 11 jenayah serius di bawah Kanun Keseksaan, termasuk pembunuhan dan Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971).
Pemansuhan hukuman mati ialah satu daripada janji dalam manifesto Pakatan Harapan.