AG terajui jawatankuasa khas siasat dakwaan terhadap Azam

AG terajui jawatankuasa khas siasat dakwaan terhadap Azam

Selain Dusuki Mokhtar jawatankuasa turut dianggotai ketua pengarah perkhidmatan awam dan ketua setiausaha perbendaharaan.

Dusuki Mokhtar
Peguam Negara Dusuki Mokhtar dilantik mengetuai jawatankuasa khas ditubuhkan kerajaan bagi menyiasat dakwaan membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Peguam Negara Dusuki Mokhtar dilantik mengetuai jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Shamsul Azri Abu Bakar berkata, jawatankuasa itu turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican.

“Jawatankuasa ini akan melaksanakan siasatan secara terperinci bagi memberi pengadilan sewajarnya kepada pihak yang disiasat.

“Hasil dan syor siasatan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pihak berkuasa tatatertib untuk pertimbangan lanjut berdasarkan tatacara sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.

Penubuhan jawatankuasa khas itu diumumkan jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil hari ini yang menurut beliau diberi tanggungjawab meneliti dakwaan tersebut secara menyeluruh serta bebas.

Bloomberg dalam artikelnya melaporkan Azam memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, atau 1.7% berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Feb tahun lalu.

Nama Azam dilaporkan masih tersenarai dalam daftar pemegang saham syarikat itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Perkara ini dikatakan melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang menyatakan penjawat awam boleh memegang saham dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia, dengan syarat pegangan tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau RM100,000 nilai pasaran, yang mana lebih rendah.

Semalam, Azam memulakan tindakan undang-undang terhadap Bloomberg, bagi menuntut ganti rugi RM100 juta berhubung laporan agensi berita antarabangsa itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.