Sertakan Tengku Maimun dalam pasukan khas siasat Azam, cadang Ahli Parlimen

Sertakan Tengku Maimun dalam pasukan khas siasat Azam, cadang Ahli Parlimen

Wong Chen berkata, pasukan itu turut wajar dianggoti hakim kanan bersara dan wakil masyarakat sivil yang disegani.

wong chen
Ahli Parlimen Subang Wong Chen cadang agar skop siasatan pasukan petugas khas diluaskan rangkumi dakwaan wujudnya ‘mafia korporat’.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen PKR mencadangkan agar bekas ketua hakim negara Tengku Maimun Tuan Mat turut disertakan dalam pasukan petugas khas menyiasat dakwaan pemilikan saham dihadapi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen menyarankan agar anggota pasukan petugas khas itu ditambah menjadi lima orang.

“Saya cadangkan agar komposisi pasukan petugas ini diperluas kepada lima orang, dengan menyertakan seorang hakim bersara serta seorang tokoh masyarakat sivil yang disegani.

“Saya ingin cadangkan Tengku Maimun sebagai bekas anggota kanan badan kehakiman,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Bagi wakil masyarakat sivil pula, Wong berkata, beliau menyerahkan kepada pertubuhan masyarakat sivil untuk mencadangkan calon yang sesuai.

Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar semalam mengumumkan bahawa Peguam Negara Dusuki Mokhtar akan mengetuai pasukan tersebut.

Pasukan itu turut dianggotai Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Mereka dijangka mengemukakan dapatan dan syor kepada perdana menteri serta pihak berkuasa tatatertib yang berkaitan.

Wong turut mencadangkan agar skop siasatan merangkumi dakwaan wujudnya ‘mafia korporat’, yang disifatkannya sebagai isu yang jauh lebih besar berbanding dakwaan pemilikan saham Azam.

Terdahulu hari ini, kumpulan pesara kanan penjawat awam G25 menyuarakan kebimbangan berhubung pelantikan peguam negara mengetuai pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan terhadap Azam.

Kumpulan itu berkata, langkah meletakkan peguam negara sebagai ketua pasukan itu mungkin menimbulkan persepsi konflik institusi, memandangkan beliau turut berperanan sebagai penasihat undang-undang utama kerajaan dan pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pendakwaan.

Menurut kumpulan itu, keyakinan orang ramai akan lebih terjamin jika pasukan itu dipengerusikan oleh seorang pesara hakim kanan atau tokoh yang sama bebas dan dihormati, selain tidak mempunyai rantaian pelaporan langsung dalam hierarki pentadbiran semasa.

Kumpulan itu juga menggesa kerajaan supaya mengarahkan ketua pesuruhjaya SPRM agar bercuti semasa siasatan sedang dijalankan bagi membuktikan kerajaan memandang serius dakwaan tersebut dan bahawa tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang atau terlepas daripada penelitian umum.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.