Lebih 1,000 peniaga didenda tak guna produk biodegradasi, kata menteri

Khalid Abdul Samad berkata, peniaga yang tidak mematuhi larangan penggunaan straw guna semula, kertas atau biodegradasi turut dikenakan tindakan ketika pemeriksaan ke atas 2,707 premis perniagaan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 432 notis amaran dan 1,156 kompaun dikeluarkan kepada peniaga yang tidak mematuhi arahan penggunaan produk biodegradasi di Wilayah Persekutuan sepanjang tahun lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, tindakan turut diambil terhadap peniaga yang tidak mematuhi larangan penggunaan straw ketika pemeriksaan ke atas 2,707 premis perniagaan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Untuk menggalakkan penggunaan produk biodegradasi, program berbentuk komunikasi, pendidikan dan kesedaran orang ramai terus dilaksana bagi meningkatkan kesedaran, kefahaman serta kerjasama orang ramai dan peniaga.

“Selain itu, kita turut menggalakkan orang ramai membawa beg sendiri semasa membeli-belah, membawa bekas sendiri sewaktu membungkus makanan dan menggunakan straw minuman alternatif seperti straw guna semula, kertas dan biodegradasi.”

Beliau berkata demikian pada program larian Kuala Lumpur Biodegradable Fun Run 2020 serta pelancaran kempen kibar bendera Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Program yang julung kalinya diadakan itu disertai 3,500 peserta untuk meningkatkan kesedaran orang ramai akan kepentingan pemuliharaan alam sekitar melalui penggunaan produk biodegradasi, khususnya di Wilayah Persekutuan.

Ia juga untuk mendedahkan peserta kepada penggunaan produk biodegradasi yang boleh diperolehi daripada sumber alam di sekeliling.

Turut diadakan pameran produk biodegradasi seperti straw, bekas makanan, sudu, garpu dan beg plastik diperbuat daripada bahan alam semula jadi mudah terurai dan mesra alam, iaitu tebu, jagung dan rumput.