
Hakim Mahyon Talib menjatuhi hukuman itu terhadap Muhammad Shahrul Haikal Laysabri, 21, selepas dia mengaku bersalah terhadap 2 pertuduhan samun berjumlah RM1,123.40.
Shahrul Haikal dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun dan 1 sebatan bagi setiap pertuduhan serta diperintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 27 Nov tahun lepas.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas melakukan samun berkumpulan bersenjatakan alat pengunci motosikal terhadap 2 juruwang masing-masing berusia 22 dan 26 tahun membabitkan kerugian RM189.20 dan RM934.20 di kedai serbaneka di Bandar Tasik Selatan dan Desa Petaling, pada 18 dan 20 Oktober tahun lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Pada 16 Jan lepas, tertuduh dihukum dipenjara 66 bulan dan 5 sebatan oleh 2 Mahkamah Sesyen berasingan di sini atas 5 kesalahan sama.
Tertuduh kini sedang menjalani hukuman bagi kesalahan curi di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan di Pusat Koreksional Puncak Alam yang dijangka berakhir September tahun ini.