Beli keropok lekor, nasi kerabu guna e-Tunai di Terengganu

Peniaga berkata, kaedah pembayaran secara digital atau e-tunai mempunyai banyak kelebihan dan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

KUALA NERUS: Beli keropok lekor di kedai kampung pun boleh guna e-tunai.

Ia bukan sahaja sebagai memenuhi peredaran masa yang kini menekankan penggunaan teknologi mudah alih dan digital tetapi juga memudahkan pelanggan untuk tidak lagi bergantung kepada pembelian secara tunai.

Pemilik kedai Keropok Lekor Tok Molor 2, Surinawati Hamzah, 41, berkata, kaedah pembayaran secara digital atau e-tunai itu mempunyai banyak kelebihan dan memberi manfaat yang sangat besar kepada kedua-dua belah pihak.

Faktor keselamatan menjadi penyebab kepada beliau untuk menyediakan perkhidmatan pembayaran melalui Touch ‘n Go e-Wallet walaupun saiz perniagaannya agak kecil dan terletak di kawasan kampung.

“Sebelum ini saya terpaksa berulang-alik hampir setiap hari ke bank untuk memasukkan wang hasil jualan. Tak berani simpan di rumah atau kedai kerana bimbang dipecah masuk, rompak atau ragut.

“Tetapi apabila guna kaedah pembayaran e-tunai, wang terus masuk ke akaun dan tunai yang ada taklah sebanyak dahulu.

“Jadi bolehlah simpan dulu duit tu… 2 atau 3 hari sekali baru masukkan ke bank,” katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Wakaf Tembusu di sini.

Selain itu, Surinawati berkata, pembayaran secara digital juga memudahkan majikan memantau aktiviti jualan oleh pekerja kedai sekiranya berada di luar kawasan.

Menurut beliau masalah seperti kehilangan wang di kaunter dapat dielakkan kerana setiap transaksi jualan atau belian akan direkod dan dihantar menerusi sistem pesanan ringkas ke nombor telefon yang berdaftar.

“Saya telah mengaplikasikan kaedah pembayaran digital 3 bulan lepas dan tidak sangka sambutannya begitu menggalakkan.

“Boleh dikatakan 30% pelanggan menggunakan perkhidmatan e-tunai kerana ia mudah, cepat dan tidak perlu susah-susah mengambil wang di bank untuk berbelanja,” katanya yang berharap dapat memajukan lagi perniagaan pada masa hadapan.

Pendapat sama turut diutarakan oleh seorang lagi peniaga warung nasi kerabu Mak Ani, Norasiah Abd Manaf, 53, di Gong Badak yang turut menggunakan platform Touch ‘n Go e-Wallet untuk menarik pelanggan.

Menurut Norasiah sebagai peniaga beliau perlu mengikuti perkembangan semasa demi memaju dan membesarkan lagi perniagaannya.

Beliau berkata, pada awalnya, sambutan yang diterima daripada masyarakat setempat agak dingin kerana mereka lebih selesa membuat bayaran secara wang tunai.

“Tetapi selepas beberapa bulan, mereka mulai tertarik dan teruja untuk mencuba kerana penggunaannya sangat mudah, hanya perlu imbas kod QR di telefon pintar sahaja,” katanya.

Seorang pelanggan yang ditemui, Shakila Abd Rahman, 27, berkata walaupun kaedah pembayaran digital boleh memudahkan pengguna, terdapat beberapa aspek kemudahan yang perlu ditanggani oleh kerajaan bagi memastikan ia dapat digunakan tanpa gangguan dan masalah.

“Saya harap kualiti perkhidmatan internet di kawasan Gong Badak ini dapat dipertingkatkan kerana banyak tempat masih lagi berada pada tahap 3G.

“Ini menyukarkan kami untuk menggunakan pembayaran secara digital sepenuhnya kerana bukan semua kawasan ‘line’ intenetnya bagus,” katanya.