Sabah gantung semua penerbangan dari China serta-merta

Sabah gantung semua penerbangan dari China serta-merta

Timbalan ketua menteri berkata ia mesti dilakukan demi kesejahteraan rakyat Sabah.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pintu masuk utama ke Sabah. Kerajaan negeri mengumumkan penerbangan  dari China ke Sabah digantung serta-merta susulan wabak koronavirus.
KOTA KINABALU:
Sabah menggantung semua penerbangan dari China ke Sabah berkuatkuasa serta-merta sehingga diberitahu kelak, kata Timbalan Ketua Menteri Christina Liew.

Liew berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat Kabinet semalam memandangkan ancaman koronavirus.

Beliau berkata penggantungan ini hanya sementara dan operasi akan disambung semula selepas keadaan kembali normal.

“Walaupun penggantungan ini akan beri kesan pada industri pelancongan negeri, kami mahu mengelakkan risiko mendedahkan rakyat kita kepada mana-mana pembawa koronavirus novel 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, larangan perjalanan ini keputusan yang sukar dan mungkin tidak disambut baik oleh pemain pelancongan.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri harus pastikan kita tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat, memandangkan ketidaktentuan keadaan wabak koronavirus,” katanya.

Liew berkata pejabat setiausaha kerajaan negeri akan memaklumkan semua penerbangan yang beroperasi di laluan China-Kota Kinabalu akan keputusan kerajaan negeri itu.

“Ini bermakna semua penerbangan dari China akan dihentikan, dan tiada laluan masuk bagi semua pelancong dari bandar-bandar China ke Kota Kinabalu sepanjang tempoh penggantungan,” katanya.

Kerajaan negeri ambil maklum kerajaan China melarang warganya di Wuhan, Xi’an, Beijing, Tianjin, dan Guangzhou keluar negara.

“Jabatan kesihatan negeri sentiasa memaklumkan perkembangan terkini kepada kerajaan Sabah. Walaupun tiada kes dikenalpasti di Sabah, kita harus berwaspada dan mengamalkan tabiat kebersihan diri yang baik,” katanya.

Beliau menyeru rakyat Sabah mengambil maklumat yang betul daripada sumber yang boleh dipercayai, dan mengelak daripada menyebarkan berita palsu atau yang belum sahih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.