Sabah lancar ePP lulus pelan pembangunan dalam tempoh 24 jam

Sabah lancar ePP lulus pelan pembangunan dalam tempoh 24 jam

Sistem ePP bertujuan mengurangkan rasuah, masa yang diambil, kerenah birokrasi dan kos pembangunan hartanah.

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal bercakap kepada pemberita bagaimana platform atas talian ePP akan mengurangkan masa menunggu kelulusan pelan pembangunan.
KOTA KINABALU:
Sabah hari ini melancarkan satu portal kebenaran perancangan elektronik (ePP) untuk meluluskan pelan pembangunan dalam tempoh 24 jam.

Sistem kelulusan segera itu bertujuan mengurangkan rasuah, masa yang diambil, kerenah birokrasi dan kos pembangunan hartanah.

Chew Shang Hai.

Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) Chew Shang Hai, ketika mengalu-alukan ePP berharap ia akan menjadi sistem kelulusan pelan pembangunan yang paling telus dan pantas di Malaysia.

“Kelulusan pelan sedemikian kadang-kadang mengambil masil bertahun-tahun di Sabah, tetapi sekarang ia menjadi paling pantas dari aspek itu.

“Tidak ada lagi birokrasi dan projek boleh diluluskan dengan mudah jika semua syarat dan peraturan dipenuhi.”

“Di Semenanjung Malaysia, kelulusan pelan pembangunan boleh mengambil masa lebih daripada 1 tahun, tetapi bagi kami, ia kini mengambil masa kira-kira 1 hari,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran portal ePP di sebuah hotel terkemuka di sini.

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal melancarkan portal tersebut. Turut hadir ialah timbalan ketua menteri Jaujan Sambokong, yang merupakan menteri perumahan dan kerajaan tempatan Sabah dan setiausaha kerajaan negeri Safar Untong.

Di bawah paltform ePP, pemaju di Sabah hanya perlu memuatnaik pelan pembangunan mereka berserta semua kelulusan agensi pengawal selia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan firma utiliti ke portal berkenaan. Mereka kemudiannya perlu menunggu 1 hari untuk kelulusan.

Proses tersebut menghapuskan mesyuarat dan masa penilaian yang boleh memakan masa bertahun-tahun sewaktu ia dikendalikan oleh Lembaga Pusat sebelum ini.

Chew berkata, tempoh menunggu lebih pendek itu membolehkan pemaju mengurangkan kos.

Beliau berkata, apabila kelulusan pelan pembangunan tertangguh, kos boleh meningkat sebanyak 10% setiap tahun berikutan turun-naik harga bahan mentah, premium tanah dan sebagainya.

Chew berkata, kos lebih tinggi akan memberi kesan ke atas harga jualan hartanah dan menjadi penyumbang utama kepada harga hartanah di Sabah yang tinggi berbanding tempat lain di Malaysia.

Shafie berkata, kerajaan negeri telah meminda beberapa undang-undang negeri bagi membolehkan Lembaga Pusat, yang sebelum ini memproses pelan tersebut, dibubarkan.

Dalam manifesto pilihan raya Warisan, Shafie berjanji untuk membubarkan Lembaga Pusat bagi menghentikan amalan rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan.

Lembaga Pusat juga didakwa menyumbang kepada kadar pembangunan yang perlahan di Sabah.

Shafie berkata, penggunaan ePP akan dimulakan di Kota Kinabalu, diikuti oleh Sandakan dan Tawau pada Jun.

“Daerah kecil seperti Beaufort, Kimanis, Semporna dan Lahad Datu akan dikelompokkan bersama-sama dan akan menggunakan platform ePP selepas itu,” katanya.

Shafie berharap harga hartanah di Sabah akan dapat dikurangkan, sementara penawarannya bertambah berikutan pelaksanaan ePP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.