Hospital pakar mohon maaf senarai Sabah dalam poster koronavirus

Hospital pakar mohon maaf senarai Sabah dalam poster koronavirus

Selain China, Wuhan dan Singapura, poster yang tular sejak pagi tadi juga memasukkan Sabah atas sebab-sebab tertentu.

Poster yang menyenaraikan Sabah sebagai antara lokasi penyebaran koronavirus tersebar di media sosial.
KOTA KINABALU:
Sebuah hospital pakar membuat permohonan maaf atas kesilapan yang dibuat pada poster yang meminta pelanggan memaklumkan kepada pihak hospital jika mereka pernah berkunjung ke lokasi yang dilanda koronavirus.

Selain China, Wuhan dan Singapura, poster itu juga menyenaraikan Sabah atas sebab-sebab tertentu.

Poster yang dikeluarkan KPJ Rawang tertulis: “Pelanggan yang dihormati, sila beritahu kami jika anda pernah berkunjung ke China, Wuhan, Singapura atau Sabah, atau jika anda mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang positif koronavirus novel dalam masa 14 hari lalu.”

Gambar poster itu tular di media sosial sejak pagi ini.

KPJ Rawang kemudiannya mengeluarkan kenyataan di halaman Facebooknya, mengatakan mereka mengambil maklum balas mengenai poster tersebut.

“Tiada sebarang hasrat untuk menimbulkan isu atau menyinggung mana-mana pihak, individu, negeri mahu pun negara.

“Kami juga telah mengambil tindakan untuk menurunkan poster tersebut dengan segera.

“Segala kesulitan amatlah dikesali,” menurut kenyataan itu.

Walaupun terdapat pesakit yang disiasat berhubung koronavirus di negeri itu, Sabah belum mencatatkan kes yang disahkan setakat ini.

Ketua pemuda SAPP Jamain Sarudin.

Ketua Pemuda Parti Progresif Sabah (SAPP), Jamain Sarudin kesal dengan poster tersebut yang menggambarkan Sabah sebagai salah satu lokasi panas koronavirus.

“Kesilapan ini tidak sepatutnya berlaku di pusat perubatan yang terkenal dan berprestij seperti KPJ. Sudah tentu, saya fikir Kementerian Kesihatan tidak menyenaraikan Sabah sebagai kawasan berisiko tinggi bagi jangkitan koronavirus.

“Walaupun pusat perubatan akhirnya mengeluarkan ‘Sabah’ daripada senarai dan membuat permohonan maaf, kesilapan seperti itu tidak harus diulang kerana ia boleh memberi kesan negatif terhadap pelancongan Sabah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.