
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalid meminta kerajaan segera melaksanakan moratorium ke atas pendakwaan kes cubaan membunuh diri kerana ia tidak adil.
Beliau berkata, pelaksanaan hukuman itu menunjukkan pihak berkuasa tidak memahami faktor yang mempengaruhi seseorang itu membunuh diri.
Katanya, pihak berkuasa gagal menangani isu seperti tahap kesihatan mental tidak baik dan keadaan hidup teruk yang dikatakannya antara faktor berlaku cubaan membunuh diri.
Pada 23 Dis lalu, seorang lelaki kelainan upaya cuba menggantung diri menggunakan tali nilon di Kuala Terengganu dan dijatuhkan hukuman penjara 6 bulan di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong menyuarakan komitmen kerajaan untuk menghentikan hukuman terhadap cubaan membunuh diri dan beliau berharap pindaan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan dapat dibentangkan pada pertengahan tahun ni.
Azrul tidak bersetuju dengan tindakan menghukum mampu mengurangkan kes cubaan membunuh diri kerana statistik menunjukkan kadar bunuh diri di mana-mana negara tidak berkurangan dengan langkah itu.
“Tindakan menghukum memburukkan lagi stigma masyarakat terhadap tindakan membunuh diri. Ia tidak menggalakkan individu berdepan krisis untuk mendapatkan bantuan dan berpotensi meningkatkan lagi kes bunuh diri.”
Azrul meminta jaminan daripada kerajaan untuk memberi bantuan kepada lelaki kelainan upaya yang dipenjarakan itu menangani dan menyelesaikan masalahnya yang menjadi punca beliau cuba membunuh diri.
Katanya, individu yang cuba membunuh diri “hanya akan berbuat demikian kerana mereka tiada pilihan lain untuk menamatkan penderitaan yang dialami”.