‘Saya sudah jadi PM’, Dr M jawab usul undi percaya PAS

‘Saya sudah jadi PM’, Dr M jawab usul undi percaya PAS

Perdana menteri tak tahu apa-apa tentang rancangan seperti itu.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad tidak tahu apa-apa tentang rancangan PAS yang mahu mengusulkan undi percaya bagi menyokong kepimpinannya sebagai perdana menteri.

Beliau bagaimanapun menyambut baik pertunjukan sokongan itu.

“Saya sudah jadi perdana menteri, tapi kalau mahu sokong, terima kasihlah,” katanya kepada pemberita selepas acara bersama komuniti perniagaan Perancis di Cyberjaya hari ini.

PAS pada Sabtu mengumumkan ahli Parlimennya akan membawa usul undi percaya pada sidang Dewan Rakyat bulan depan, ekoran “kemelut tak sudah-sudah” yang “mengganggu kestabilan politik dan ekonomi”.

Usul itu akan dibawa pada persidangan 9 Mac-16 Apr depan, kata Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan.

“Kita melihat ada keperluan pada masa ini untuk perdana menteri meneruskan kepimpinannya sehingga tamat penggal”, kata Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man selepas mesyuarat bulanan parti Islam itu.

Beberapa bulan mutakhir ini beberapa pihak mendesak peralihan kuasa daripada Mahathir kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim. Beberapa ahli Parlimen daripada DAP dan PKR juga mengkritik Mahathir secara terbuka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.