Audit forensik hampir siap, Mat Sabu jawab Hisham berkait sindiran roti john

Mohamad Sabu berkata, Hishammuddin Hussein sepatutnya menyiapkan pembelaannya sebelum selesai audit forensik ke atas transaksi Kementerian Pertahanan di bawah kerajaan terdahulu.

PETALING JAYA: Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mengancam untuk menyaman mana-mana orang mengaitkan beliau sebagai individu membuat jenaka yang gagal menarik perhatian seorang pegawai asing dalam satu mesyuarat keselamatan peringkat tinggi.

“Semuanya pembohongan belaka dalam The Star,” katanya kepada FMT dari London.

“Kalau nama saya disebut, saya akan saman. Tak ada sepatah pun perkataan begitu saya pernah sebut,” katanya.

Tanpa menamakan beliau, seorang kolumnis akhbar The Star mendakwa sesetengah menteri Pakatan Harapan (PH) diberikan jawatan dalam Kabinet kerana mereka memegang jawatan tinggi dalam parti masing-masing.

Penulis itu kemudiannya mengemukakan “cerita” yang menurutnya berkaitan seorang diplomat asing tentang seorang menteri Malaysia bertemu “seorang pegawai tinggi” bernama John.

“Nama anda John. Di negara saya ada ‘roti john’. Jika anda datang ke negara saya, saya akan masak ‘roti john’ untuk anda,” kata menteri berkenaan menurut penulis tersebut.

“Katanya walaupun ia pelawaan yang menyelerakan, pegawai tersebut tidak tertarik kerana mesyuarat berkenaan berkait urusan keselamatan yang serius,” tambahnya.

Roti john popular di Malaysia dan Mat Sabu juga terkenal dengan kemahirannya memasak.

Berikutan tulisan tersebut, bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein menyindir ucapan Mat Sabu sebelum ini yang menggunakan peribahasa Afrika untuk menggambarkan dilema keselamatan Malaysia.

“When elephants fight, the grass will suffer,” kata Mat Sabu pada satu sidang kemuncak pertahanan di Singapura tahun lepas.

Hishammuddin berkata, “hari itu kecoh menteri PH cerita kisah gajah bertembung dalam satu persidangan antarabangsa.

“Kali ini kisah roti john pula. Saya harap cerita ini palsu,” kata ahli Parlimen Sembrong itu di Facebook.

Berikutan itu, Mat Sabu menasihati Hishammuddin supaya menjawab persoalan mengenai kontrak mencurigakan, bukannya memberi perhatian kepada “cerita palsu” menyasarkan dirinya.

“Lebih baik jawab mengenai isu pembelian helikopter dan lain-lain. Audit forensik akan siap dalam beberapa hari lagi,” katanya kepada FMT.

“Saya nasihatkan dia jawab isu itu,” kata beliau.

Tahun lepas, pembantu Mat Sabu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kegagalan Kementerian Pertahanan menerima 6 helikopter bernilai RM300 juta selepas 1/3 kosnya dibayar.

Hishammuddin berkata, beliau bersedia dipanggil bagi menjawab dakwaan tersebut.

Kementerian Pertahanan melantik bekas ketua audit negara Ambrin Buang untuk melaksanakan audit forensik ke atas semua transaksi melibatkan kementerian berkenaan di bawah pentadbiran sebelum ini.