
Dengan sekali lafaz, pelakon Emma Maembong selamat diijabkabulkan kepada juruterbang, Muhammad Shazli Azhar, 32, kira-kira pukul 11.58 pagi, tadi.
Pasangan itu dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohammad Akmal Abdul Aziz dan berwalikan bapa pengantin perempuan Ismail Embong dalam sebuah majlis tertutup di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Majlis yang hanya dihadiri 300 tetamu dengan berkonsepkan warna putih itu menyaksikan pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM2,000 bersama senaskhah Al Quran disamping 7 dulang hantaran berbalas 5.
Pasangan ini mengadakan majlis pernikahan secara tertutup yang hanya dihadiri oleh keluarga dan teman rapat.
“Alhamdulillah, impian, niat dan hajat yang saya simpan selama ini dipermudahkan. Tarikh nikah (20022020) juga sangat cantik dan kenapa tidak kami abadikan sebagai detik hari bahagia saya dan suami.
“Biarpun semuanya berlaku dengan begitu pantas, saya percaya ada hikmah tersendiri hingga menyatukan kami menjadi pasangan suami isteri yang sah. Semoga permulaan fasa baharu ini akan terus mematangkan saya dan suami, insya-Allah,” katanya memetik media tempatan.
Emma dan pasangan segak mengenakan busana serba putih rekaan pereka fesyen, Ezuwan Ismail.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]