
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata dalam tangkapan itu pihaknya turut merampas beberapa kenderaan dipercayai digunakan dalam insiden berkenaan, termasuk sebuah lori digunakan suspek untuk merempuh pintu pagar premis.
“Setakat ini, seramai 12 suspek lelaki ditangkap dan permohonan reman dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, polis kini giat menjalankan siasatan bagi melengkapkan kertas siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat serta Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Satu sidang media khas berhubung perkembangan terbaru kes itu dijadualkan berlangsung 11 pagi esok di Pusat Media IPK Kuala Lumpur.
Terdahulu, media melaporkan sekumpulan individu bertopeng menceroboh masuk ke premis berkenaan kira-kira 1.30 tengah hari pada 5 April lalu sebelum merosakkan pelbagai barangan di dalam pusat hiburan itu.
Kejadian turut dirakam menerusi video berdurasi 71 saat yang tular, memaparkan sebuah lori mengundur sebelum merempuh pagar premis diikuti sekumpulan lelaki bertopeng yang memegang objek tidak dikenal pasti memasuki premis melalui pintu pagar yang dirosakkan.