Penahanan tak sah, warga Nigeria dapat RM675,000

Penahanan tak sah, warga Nigeria dapat RM675,000

Simon Adavize Momoh ditahan di depot imigresen Semenyih selama 40 hari pada 2021 selepas pada mulanya ditangkap kerana memandu bawah pengaruh alkohol dalam sekatan jalan raya.

Simon Adavize Momoh n Loh Kar Hui
Simon Adavize Momoh bersama isteri Loh Kar Hui dan pasukan guamannya ketika hadir di mahkamah pada 2 Jun 2022.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Shah Alam memberikan ganti rugi RM675,000 kepada lelaki warga Nigeria atas penahanan tidak sah selama 40 hari oleh pihak berkuasa pada 2021.

Hakim Jamhirah Ali memihak kepada Simon Adavize Momoh dalam tindakan sivilnya terhadap kerajaan, Kementerian Dalam Negeri, imigresen, dan Jabatan Penjara.

Ganti rugi am dinilai RM15,000 sehari, manakala ganti rugi teladan ditetapkan RM75,000.

Mahkamah juga memberikan kos RM40,000, berserta faedah pada kadar 5% setahun dari tarikh writ difailkan pada 10 Jan 2023.

Momoh, yang berkahwin dengan warga Malaysia ditahan di depot imigresen Semenyih selama 40 hari pada 2021 selepas dia pada mulanya ditangkap kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, dalam satu sekatan jalan raya di Cheras.

Selepas didenda dan dijatuhi hukuman penjara sehari oleh mahkamah, imigresen telah membatalkan visa pasangannya dan mengarahkan pengusiran pulang ke negara asal.

Dia kemudiannya dibebaskan susulan permohonan habeas corpus, di mana mahkamah memutuskan penahanannya adalah tidak mengikut Perlembagaan dan cacat dari segi prosedur.

Pasukan guamannya kemudian meneruskan semakan kehakiman, yang menyaksikan Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan keputusan imigresen untuk menarik balik visa pasangan dan mengusirnya.

Peguam Gurdial Singh Nijar, V Vemal Arasan, James Joshua Paulraj, Abraham Au, dan Regine Ng mewakili Momoh, manakala pihak defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Siti Aishah Ramlan dan Peguam Persekutuan Nurul Hanani Azamuddin.

Vemal berkata, keputusan ganti rugi itu menandakan satu pengesahan kehakiman yang penting terhadap kebebasan asasi, kebertanggungjawaban, dan kedaulatan undang-undang, terutamanya dalam perkara melibatkan penahanan serta dakwaan penyalahgunaan kuasa eksekutif.

Beliau berkata, kes berkenaan menonjolkan kebimbangan serius berkait penahanan dan layanan terhadap bukan warganegara, akses kepada representasi undang-undang, serta perlindungan Perlembagaan yang diberikan kepada semua individu di Malaysia.

“Keputusan ganti rugi hari ini bukan sahaja mewakili keadilan buat Momoh dan keluarganya, malah menjadi satu peringatan penting bahawa penahanan tidak sah dan penyalahgunaan kuasa tidak boleh dinormalisasikan dalam sebuah negara demokrasi yang ada Perlembagaan,” katanya.

“Kami berharap keputusan ini akan menyumbang ke arah kebertanggungjawaban yang lebih tinggi dan reformasi institusi demi masa depan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.