Rakaman audio: Najib, Rosmah di Bukit Aman, ke SPRM petang ini

Najib Razak dan Rosmah Mansor dipanggil pihak berkuasa untuk disoal berhubung rakaman audio SPRM.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri bertemu pihak berkuasa hari ini untuk disoal berhubung rakaman audio dikatakan suara mereka dan beberapa individu lain berbincang mengenai urusan berkaitan 1MDB.

Najib dan Rosmah Mansor ketika ini berada di Bukit Aman, difahamkan sejak selepas 10 pagi tadi, memasuki ibu pejabat polis persekutuan itu melalui Pintu B yang tiada kehadiran media.

Rakaman keterangan pasangan itu dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

Sementara itu, selepas memberi keterangan kepada polis, Najib dan Rosmah dijangka akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung rakaman yang sama petang ini, menurut sumber.

Katanya, mereka akan disoal di Akademik Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) di ibu negara.

“Ia bertujuan bagi merakamkan kenyataan mengenai rakaman audio itu,” kata sumber berkenaan.

Pada 8 Jan lepas, SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan yang didakwa melibatkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib semasa beliau menjadi perdana menteri, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1MDB serta SRC International Sdn Bhd.

Polis sebelum ini mengambil keterangan 12 individu dalam siasatan ke atas 9 rakaman audio berkenaan, yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi.

Mereka yang dirakam percakapan termasuk ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas ketua setiausaha sulit Najib iaitu Shukry Mohd Salleh dan bekas pegawai khas beliau, Amhari Efendi Nazaruddin.