PKR buang Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR: PKR hari ini memecat keahlian Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden Zuraida Kamaruddin berkuatkuasa serta-merta.

Keputusan dicapai secara sebulat suara oleh mesyuarat khas majlis pimpinan pusat parti itu yang bersidang bagi membincangkan peristiwa di sebuah hotel semalam.

“Telah berlaku satu pengkhianatan terbuka oleh beberapa watak dalang utama yang jelas bercanggah dengan pendirian parti dalam perkara berkenaan kedudukan perdana menteri,” kata Setiausaha Agung Saifuddin Nasution pada sidang media di ibu pejabat PKR.

“Akibat pengkhianatan terbuka, ianya menyebabkan keadaan yang boleh menjejaskan kerajaan Pakatan Harapan.

“Majlis pimpinan pusat atas keputusan secara sebulat suara mengambil ketetapan Azmin dan Zuraida terpecat atau dipecat sebagai ahli berkuatkuasa serta-merta,” katanya pada sidang media hari ini.

Pimpinan PKR bersidang ketika negara gempar dengan desas-desus mengenai penyusunan semula politik yang boleh menamatkan komposisi semasa Pakatan Harapan.

Semalam, timbalan presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali makan malam bersama pemimpin PAS, Umno dan PPBM di Hotel Sheraton Petaling Jaya. Pada petang hari sama, berpuluh kenderaan diiringi polis dilihat memasuki pekarangan Istana Negara pada 5.30 petang.

Anwar semalam pada suatu majlis keagamaan di kediamannya berkata ada cubaan menjatuhkan kerajaan PH membabitkan ahli politik PPBM dan PKR “yang khianat”.