300 Orang Asli bantah mansuh Hutan Simpan Kuala Langat Utara

300 Orang Asli Kuala Langat berkumpul di depan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

SHAH ALAM: Seramai 300 Orang Asli yang menaiki 8 bas membuat bantahan terhadap kerajaan negeri Selangor berhubung cadangan memansuhkan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Wakil Orang Asli Kuala Langat, Rahman Pahat berkata beliau juga mahu berjumpa dengan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bagi menuntut pertimbangan supaya status hutan itu tidak dinyahwartakan.

“Hutan simpan tempat kami. Dari dulu hingga sekarang kami sayang hutan itu. Terlalu lama, sejak dari kecil dari nenek moyang kami.

“Kalau ikut dalam sejarah kita dah duduk sejak 1845. Kami kesal dengan tindakan Amirudin mahu menyahwartaan hutan tersebut,” katanya di depan Bangunan Sultan Salahuddin Abduk Aziz Shah.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan memorandum kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah.

Rahman berkata, ini kali ke-2 beliau menyatakan bantahan terhadap cadangan penyahwartaan itu dan berharap dapat bertemu dengan Amirudin.

Beliau juga berkata pihaknya memaklumkan kepada istana Selangor 2 minggu lalu mengenai bantahan Orang Asli Kuala Langat Utara.

“Bantahan hari ini meminta menteri besar Selangor mempertimbangkan penyahwartaan itu.

“Hutan itu diberikan oleh Sultan Abdul Samad Tengku Abdullah pada kami seluas 17,900 ekar,” katanya.

Rahman juga berkata jika hutan itu dimansuhkan, ini menyebabkan sumber orang Asli Kuala Langat Utara akan terjejas.

Pada 20 Feb, cadangan untuk memansuhkan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara adalah disebabkan 40% kawasan itu tidak lagi mempunyai elemen hutan dara, selain mengelak aktiviti pembakaran hutan secara haram berulang.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, cadangan itu bagaimanapun masih di peringkat awal dan masyarakat serta komuniti berkaitan boleh mengemukakan pandangan atau bantahan mengenainya kepada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor sebelum 5 Mac ini.

Sebelum ini, Jabatan Perhutanan Selangor mengeluarkan notis cadangan bagi memansuhkan pewartaan status hutan simpan itu menerusi ruangan iklan di akhbar tempatan.

Perkara itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada badan bukan kerajaan dan orang awam.