Status quo di P Pinang, 2 Adun PPBM tak hilang kerusi buat masa ini

Ketua Menteri Chow Kon Yeow (2 dari kanan) bersama (dari kiri) Zolkifly Md Lazim, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (2 dari kiri) dan Teh Lai Heng di Komtar hari ini.

GEORGE TOWN: Dua Adun PPBM di Pulau Pinang akan terus menyokong kerajaan Pakatan Harapan sehingga ketidakpastian politik di peringkat kerajaan persekutuan selesai.

Adun Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan Adun Telok Bahang, Zolkifly Md Lazim akan terus menyokong gabungan pemerintah buat masa ini, menurut kenyataan setiausaha politik Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Teh Lai Heng.

Oleh itu, tiada perubahan di Dewan Undangan Negeri. Terdapat cakap-cakap bahawa mereka akan kehilangan kerusi mereka, menurut undang-undang anti-lompat parti negeri itu, selepas PPBM keluar PH.

Tay berkata 2 Adun berkenaan bertemu Chow di pejabatnya pada 1 tengah hari tadi di Komtar hari ini.

Khaliq tiba di Komtar pada 12.15 tengah hari. Zolkifly mengelak daripada media dan menggunakan laluan lain untuk ke pejabat ketua menteri.

DAP ada 19 daripada 40 kerusi di DUN, PKR 14, Amanah 2, PPBM 2, dan Umno dan PAS 1.

Chow pada Selasa berkata DUN Telok Bahang dan Bertam mungkin kosong kerana Adunnya mengumumkan niat untuk keluar PH susulan tumbangnya kerajaan PH di peringkat persekutuan.

Chow berkata demikian selepas memberi taklimat kepada Yang di-Pertua Negeri, Abdul Rahman Abbas mengenai perkembangan politik terkini di peringkat negeri dan persekutuan.

Pulau Pinang satu-satunya negeri yang meluluskan enakmen anti-lompat parti.