Umno nafi gesa ahli Parlimen boikot sidang Dewan Rakyat 2 Mac

Umno nafi gesa ahli Parlimen boikot sidang Dewan Rakyat 2 Mac

Annuar Musa mengulas laporan beliau mempersoalkan tindakan Dr Mahathir Mohamad memanggil sidang khas Dewan Rakyat untuk memilih perdana menteri baru.

Annuar Musa berkata, hanya speaker Dewan Rakyat boleh mengeluarkan notis untuk mengadakan sidang khas.
PETALING JAYA:
Umno menafikan ia menggesa ahli Parlimen memboikot sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin depan untuk memilih perdana menteri ke-8 seperti diumumkan Dr Mahathir Mohamad semalam.

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa berkata, catatan Twitternya menggesa ahli Parlimen membantah sidang khas Dewan Rakyat bukannya gesaan untuk memboikot seperti dilaporkan sebuah portal berita.

“Soalnya ialah ahli Parlimen perlu menyuarakan tentangan terhadap pengumuman sidang khas Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri sementara, Dr Mahathir Mohamad.

“Pengumuman Tun (Mahathir) mendahului Agong. Sidang itu bukan saja tidak berperlembagaan, ia juga tidak wajar dari segi prosedur dan tidak menghormati Agong,” katanya kepada FMT.

Semalam, Mahathir mendedahkan Yang di-Pertuan Agong tidak dapat memutuskan siapa yang mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan baru.

Katanya, perdana menteri baru akan ditentukan pada sidang Dewan Rakyat pada 2 Mac ini.

Pengumuman Mahathir itu dikritik bekas sekutunya dalam Pakatan Harapan yang mendakwanya mencabar hak dan kuasa Agong.

Beberapa peguam turut sependapat, ia tidak berperlembagaan untuk Parlimen membuat undian ketika ketiadaan kerajaan.

Annuar berkata, di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, speaker perlu mengeluarkan notis untuk mengadakan sidang khas, bukannya perdana menteri.

“Pelantikan PM ialah kuasa mutlak Agong,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.