Agong tidak terima saya menghadap, Muhyiddin akan angkat sumpah, kata Dr M

Agong tidak terima saya menghadap, Muhyiddin akan angkat sumpah, kata Dr M

Pakatan Harapan akan meminta sidang tergempar Dewan Rakyat diadakan segera.

Dr Mahathir Mohamad bercakap kepada pemberita di Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Dr Mahathir Mohamad berkata, Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan untuk tidak lagi menerima beliau menghadap dan Muhyiddin Yassin akan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri seperti dijadualkan.

Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) akan meminta sidang tergempar Dewan Rakyat diadakan segera.

Bercakap kepada pemberita di Yayasan Al-Bukhary di sini, di mana berkumpulannya ahli Parlimen bagi menunjukkan sokongan kepadanya, Mahathir berkata, beliau tidak berpeluang memberitahu Agong bahawa Muhyiddin tidak mempunyai sokongan majoriti untuk dilantik sebagai perdana menteri.

“Itu keadaannya sekarang. Saya tidak boleh berkomunikasi dengan istana,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Pakatan Harapan mempunyai majoriti “dengan 114 ahli Parlimen menyokong kami, tetapi jelas ia tidak dipedulikan”.

Berhubung dakwaan bahawa Muhyiddin mendapat sokongan penuh ahli Parlimen PPBM, Mahathir mempertikainya dengan berkata, 6 ahli Parlimen, termasuk diri beliau dan anaknya Mukhriz, tidak menyokong Muhyiddin, yang merupakan presiden parti.

Katanya, undang-undang menetapkan bahawa Agong boleh melantik mana-mana orang yang dipercayai mendapat sokongan majoriti sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun kata beliau, undang-undang juga menetapkan jika perdana menteri ditolak di Parlimen maka beliau tidak boleh memegang jawatan itu.

“Tetapi nampaknya kita akan melihat orang yang tidak mendapat sokongan majoriti menjadi perdana menteri.

“Ini mengharirankan kerana keputusan pilihan raya ke-14 menyaksikan pemenangnya membentuk kerajaan.

“Hari ini kita akan melihat pihak yang kalah dalam pilihan raya yang sama menjadi kerajaan, sementara pemenangnya menjadi pembangkang.”

Mahathir berkata, PH akan meminta diadakan persidangan tergempar Parlimen bagi menentukan pihak yang mendapat sokongan majoriti.

Ketika ditanya sama ada kerajaan yang bakal diketuai Muhyiddin tidak sah, Mahathir berkata, menurut perlembagaan, Muhyiddin bukan “perdana menteri yang betul”.

Bagaimanapun katanya, ada ketikanya calon yang dinamakan oleh parti yang memenangi pilihan raya ditolak oleh Agong atau raja.

“JIka raja tolak dan lantik orang lain dan dewan terima, maka beliau menjadi menteri besar atau perdana menteri yang sah. Terserah kepada dewan,” katanya dengan menambah bahawa “banyak perkara boleh berlaku” sebelum persidangan akan datang yang mungkin menyaksikan ahli Parlimen PH mengubah sokongan kepada pihak lain.

Mahathir berkata, beliau berasa “paling dikhianati” oleh Muhyiddin dan menjangka dirinya akan dipecat dari PPBM.

Ketika ditanya apakah beliau menyesal kerana meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, Mahathir berkata, “saya tiada pilihan”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.