Polis panggil penganjur perhimpunan haram bantah Muhyiddin

Perhimpunan selama 2 jam bermula 6 petang dihadiri kira-kira 40 individu yang membantah pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ke-8.

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil penganjur perhimpunan haram yang diadakan di depan pusat membeli-belah di ibu negara semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata penganjur melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana tidak memberikan notis pemakluman kepada pihak polis.

“Polis telah kenal pasti penganjur dan akan panggil mereka untuk beri keterangan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dataran Merdeka hari ini.

Perhimpunan selama 2 jam bermula 6 petang itu dihadiri kira-kira 40 individu yang membantah pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ke-8.

Peserta perhimpunan kemudian dilihat berarak dari pusat membeli-belah di Jalan Tunku Abdul Rahman ke Dataran Merdeka.

Tinjauan Bernama mendapati kehadiran peserta perhimpunan mengganggu orang awam yang beriadah di Dataran Merdeka serta menimbulkan kemarahan pemuzik jalanan yang membuat persembahan.

Mengulas perkara itu, Fahmi berkata kehadiran peserta perhimpunan dilihat sedikit sebanyak mengganggu ketenteraman awam.

“Pendapatan penghibur jalanan juga terjejas kerana jarak persembahan penghibur jalanan dan peserta perhimpunan dekat, timbul konflik antara mereka.

“Penganjur akan disiasat di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana gagal menyerahkan notis untuk berkumpul,” katanya.