Kami sokong Dr M, tapi akan kerjasama dengan kerajaan Muhyiddin, kata Shafie

Shafie Apdal (duduk, tengah) bersama ahli Parlimen dan Adun Sabah mengadakan sidang media di pejabatnya di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal berkata kerajaan negeri pimpinannya akan bekerjasama dengan kerajaan pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-8, Muhyiddin Yassin walaupun mereka menyokong bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, kerjasama itu bertujuan memastikan Sabah dan rakyatnya terus menikmati manfaat dari segi pembangunan dan bidang lain, termasuk kesihatan, pendidikan serta keselamatan.

“Selepas mesyuarat dengan semua Adun dan Ahli Parlimen Sabah lebih 45 minit, pendirian kami ialah terus menyokong Mahathir,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini sambil mendapat sorakan daripada semua wakil rakyat di pejabatnya.

Ini julung kali Shafie menyuarakan pendirian Sabah selepas Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-8 pada Ahad lalu.

“Saya harap beliau (Muhyiddin) faham. Saya tidak menentangnya kerana beliau ialah kawan saya dan sudah lama bersama kami,” kata Shafie yang juga presiden Warisan.

Beliau berkata, Sabah komited untuk mengekalkan hubungan kerajaan kepada kerajaan, tetapi dari segi hubungan politik, adalah jelas sokongan mereka diberikan kepada Mahathir.

“Dahulu saya kata kepada (bekas perdana menteri) Najib Razak, ketika beliau ialah kawan saya ketika itu yang saya akan sokong Mahathir. Tetapi, perlu ada kejelasan dalam ahli politik.

“Saya tidak boleh diheret oleh politik di Semenanjung sehingga ia menghalang kedudukan dan masa depan orang Sabah.

“Kami perlu fokus masa kami dalam membangunkan negeri. Bagi saya, keutamaan ialah Sabah dan rakyatnya.”

Ditanya adakah Sabah akan mendapat dana untuk meneruskan pembangunan memandangkan ia ialah kerajaan negeri pembangkang sekarang, Shafie berkata, Kelantan menjadi negeri pembangkang selama 20 tahun sebelum ini, tetapi ia masih ditadbir dengan baik.

Mengenai hak Sabah dan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963, ahli Parlimen Semporna itu berkata, Sabah masih berunding dengan Putrajaya untuk menuntut apa yang dijanjikan kepada mereka.

“Kita masih berunding dengan kerajaan persekutuan yang mana sekarang ini (Kabinet persekutuan) belum dibentuk secara sempurna, siapa yang jaga minyak, siapa menjaga perumahan, siapa menjaga pendidikan belum ditentukan.

“Walaupun demikian, agenda menuntut hak Sabah sudah sedia ada. Perkara ini kita susun atur dan dimantapkan.”

Shafie berkata, tiada masalah untuk meneruskan rundingan itu kerana Sarawak yang juga negeri pembangkang ketika pentadbiran Pakatan Harapan, menghadiri mesyuarat menteri besar/ketua menteri dan juga rundingan MA63.

“Rundingan perlu diteruskan dan janji perlu dikotakan.”

Beliau juga tidak bimbang dengan spekulasi ahli Parlimen akan menyokong pihak lawan.

“Saya tidak boleh mengawal wakil rakyat. Kami tidak paksa mereka bersama kami. Apabila saya menubuhkan kerajaan negeri, saya tidak ‘beli’ orang.

“Tetapi, saya kenal kawan saya. Mereka sudah membuat pendirian mereka. Mereka perlu menjaga Sabah dan rakyatnya.”

Ditanya lagi jika beliau bimbang pembelian sokongan ahli Parlimen susulan penundaan sidang Dewan Rakyat ke Mei, Shafie berkata: “Apa yang anda mahu sebagai wakil rakyat? Adakah untuk mendapat kerja, kekayaan atau membantu negara dan rakyat?

“Jika ada kejelasan dalam nilai-nilai kita, ia lebih mudah untuk membuat keputusan, jika tidak keadaan akan jadi  tunggang-langgang. Saya merasakan kami di Sabah akan kekal dalam keadaan baik.”

Kerajaan Sabah pimpinan Warisan-PH-Upko mempunyai 43 Adun, manakala blok pembangkang yang terdiri daripada PPBM, PBS, STAR dan Umno mempunyai 17 kerusi.

Gabungan pemerintah itu turut mempunyai 5 Adun lantikan.