Lantikan Kabinet berkaliber boleh atasi tentangan terhadap kerajaan baru, kata penganalisis

Pakar geostrategik Azmi Hassan berkata, walaupun pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri ke-8 tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan perlembagaan, tetapi wujud persoalan dari segi moral.

PETALING JAYA: Penganalisis percaya tentangan terhadap pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri baru boleh diatasi dengan melantik menteri yang berkaliber dan berkebolehan.

Pakar geostrategik dari Universiti Teknologi Malaysia Azmi Hassan berkata, walaupun pelantikan beliau sebagai perdana menteri ke-8 tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan perlembagaan persekutuan, tetapi wujud persoalan dari segi moral.

Katanya, lantikan itu dilihat sebagai satu usaha mewujudkan “kerajaan pintu belakang” kerana masih tiada bukti menunjukkan beliau mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat bagi membolehkannya membentuk kerajaan.

“Etika dan moralnya jadi persoalan kerana dalam pilihan raya umum lepas, (rakyat) jelas memilih perdana menteri yang berlainan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Azmi berkata, Muhyiddin boleh mengurangkan tentangan terhadap kerajaannya dengan melantik menteri Kabinet yang benar-benar berkaliber dan berupaya menjalankan tugas dengan baik.

Azmi Hassan

Katanya, dengan cara itu, persepsi dan tanggapan negatif mengenai lantikan dan pimpinan kerajaan dapat dihentikan.

“Berikan juga peluang kepada muka-muka baru untuk menyertai Kabinet kerajaan baru,” katanya.

Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri ke-8 susulan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada 24 Feb, sekali gus menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

PH yang anggotai PKR, DAP dan Amanah kemudiannya menyokong Mahathir untuk dicalonkan semula sebagai perdana menteri, manakala Barisan Nasional (BN), PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), beberapa bekas ahli Parlimen PKR serta ahli Parlimen PPBM menyokong Muhyiddin.

Kedua-dua blok politik tersebut dlihat saling berebut mendapatkan bilangan wakil rakyat untuk meyakinkan Yang di-Pertuan Agong bahawa mereka mempunyai sokongan majoriti bagimenubuhkan kerajaan baru.

Namun sehingga kini, blok Muhyiddin dan PH masih belum mempunyai bukti kukuh bilangan wakil rakyat yang menyokong mereka.