
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis kesyukuran di Jitra, beliau mengakui wujudnya perpecahan dalam parti berkenaan.
“Perlembagaan tetapkan seorang sahaja pengerusi, satu sahaja parti. Tetapi sebahagian daripada parti sudah terima Datuk Seri Najib Razak, jadi bukan parti lagi. Sebahagian masih Bersatu, tetapi ada kumpulan ikut Najib,” katanya.
Katanya beliau masih pengerusi PPBM dan menolak pengumuman Muhyiddin minggu lepas yang berkata beliau memangku jawatan pengerusi.
Mahathir berkata, beliau didesak supaya kembali memimpin parti sebagai pengerusi selepas mengumumkan peletakan jawatannya Ahad lepas.
“Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh mengaku beliau memangku jawatan pengerusi Bersatu sebab saya masih pengerusi.
“Apa perlu dia jadi pemangku pengerusi kerana Majlis Pimpinan Tertinggi tolak peletakan jawatan dan saya terima balik jawatan itu,” katanya.
PPBM dijadualkan mengadakan pemilihan sulung parti itu pada 4 Apr depan.
Mahathir meletak jawatan sebagai pengerusi PPBM pada 14 Feb dan berundur daripada jawatan perdana menteri pada hari yang sama.
Pada 29 Apr Muhyiddin berkata, beliau akan memangku jawatan pengerusi sehingga pemilihan parti.
PPBM yang ditubuhkan oleh Mahathir pada 2016 keluar gabungan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 24 Feb menyebabkan tumbangnya kerajaan PH.
Di bawah Muhyiddin, PPBM membentuk satu gabungan baru dengan Barisan Nasional (BN) dan PAS dan dinamakan Perikatan Nasional, yang memungkinkan beliau dilantik sebagai perdana menteri.
Turut hadir pada acara hari ini ialah anaknya Mukhriz, yang merupakan menteri besar Kedah dan timbalan presiden PPBM; bekas timbalan menteri kewangan Amiruddin Hamzah; speaker Dewan Undangan Negeri Ahmad kassim; pengerusi PKR Kedah, Johari Abdul dan pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew.
Walaupun PPBM keluar PH, Adun PKR dan DAP mengumumkan mereka akan terus menyokong kerajaan negeri pimpinan Mukhriz.