Zahid ‘tawar diri’ untuk tidak dilantik dalam Kabinet Muhyiddin

Zahid ‘tawar diri’ untuk tidak dilantik dalam Kabinet Muhyiddin

Zahid berkata beliau membuat keputusan untuk tidak menawarkan diri untuk sebarang jawatan dalam Kabinet.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berucap merasmikan Persidangan Cawangan Umno Bagan Datuk di Dewan Perdana Umno Bagan Datuk, Perak hari ini.
BAGAN DATUK:
Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menawarkan diri untuk tidak dilantik ke sebarang jawatan dalam Kabinet.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Cawangan Umno Bagan Datuk di Dewan Perdana Umno Bagan Datuk, Perak, di sini, hari ini.

“Sebagai pengerusi BN, dan presiden Umno, saya memutuskan untuk menawarkan diri agar tidak dilantik dalam sebarang jawatan dalam Kabinet yang akan diumumkan.

“Kita berdoa semoga Allah, memberi hidayah kepada perdana menteri (Muhyiddin Yassin), melindungi kerajaan Perikatan Nasional untuk jadikan Malaysia sebagai sebuah negara aman damai yang dapat pengampunan daripada Allah,” katanya.

Semalam, Zahid menafikan bahawa Umno menyasarkan jawatan timbalan perdana menteri.

Zahid berkata pihaknya telah mengemukakan beberapa nama ahli Parlimen BN kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin beberapa hari lepas bagi membantunya memilih individu yang benar-benar layak untuk mengisi jawatan dalam Kabinet.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara, pada 1 Mac lalu.

Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk kini berdepan 47 tuduhan pecah amanah melibatkan dana Yayasan Akal Budi, pengubahan wang haram serta menerima rasuah untuk pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri sebelum ini.

Dalam pada itu, Zahid percaya Muhyiddin mempunyai pertimbangan yang wajar untuk melantik mereka yang berkelayakan, berwibawa, dan berkemampuan dalam barisan Kabinet beliau.

Beliau berkata semua pihak hendaklah berlapang dada serta berfikiran terbuka untuk sokong keputusan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

“Jawatan dalam kerajaan amat penting untuk melaksanakan dasar-dasar baru. Pandangan dari dalam dan luar kerajaan perlu diambil kira.

“Sebagai parti yang menganggotai Perikatan Nasional dan merupakan sebahagian daripada kerajaan, Umno dan Muafakat Nasional wajib menyokong perdana menteri.

“Kita yakin perdana menteri mempunyai roh dan semangat sama yang dikongsi kita semua,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.