Pekerja ibu pejabat takaful Hong Leong di PJ dijangkiti Covid-19

Hong Leong MSIG Takaful berkata, ibu pejabatnya di PJ City Development masih dibuka dan beroperasi seperti biasa. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ibu pejabat takaful Hong Leong di sini hari ini mengesahkan seorang pekerjanya disahkan positif Covid-19 pada Jumaat lalu.

Ia dalam satu kenyataan berkata, pekerja yang bertugas di Menara B, PJ City Development, itu mula menjalani kuarantin di rumah pada 2 Mac selepas tidak sihat dan kini dirawat di sebuah hospital kerajaan.

Beberapa pekerja lain yang merupakan kontak langsung dengan pesakit itu turut menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari mulai 2 Mac lalu.

Syarikat itu, mereka akan menjalani siasatan lanjut sejajar garis panduan Kementerian Kesihatan.

Ini menjadikan hampir 100 kes disahkan positif Covid-19 di Malaysia dengan 24 daripadanya sembuh sepenuhnya.

Hong Leong MSIG Takaful berkata, langkah mitigasi awal dan keselamatan awam diaktifkan bagi mengelakkan pekerjanya menghadapi sebarang risiko, termasuk sanitasi menyeluruh di pejabatnya setiap hari.

“Penyahjangkitan dan pembersihan terperinci turut dilakukan di semua pejabat di Menara B pada 7 dan 8 Mac lalu, serta diperluaskan ke semua kawasan umum termasuk surau, kafetaria, tempat letak kereta, tandas dan lif, susulan garis panduan Kementerian Kesihatan.”

Langkah seterusnya termasuk saringan suhu di lobi, pengasingan lif akses dalam kumpulan tertentu dan pencegahan kemasukan rentas bangunan.

“Berdasarkan garis panduan perubatan dan rasmi Kementerian Kesihatan, bangunan kami masih dibuka dan beroperasi seperti biasa.”