7 kesan pandemik Covid-19 kepada dunia

Jururawat merawat pesakit Covid-19 dalam unit penjagaan intensif di Hospital Ditan di Beijing. (Gambar AP)

Penularan Covid-19 ketika ini di seluruh dunia sangat membimbangkan.

Sehingga kini virus itu telah membunuh beribu-ribu mangsa dan menyebabkan seluruh dunia berada dalam keadaan panik.

Berikut merupakan 7 kesan Covid-19 kepada dunia.

1. Membunuh lebih ramai daripada SARS

Secara keseluruhan, selesema Wuhan ini telah membunuh lebih ramai berbanding SARS, yang disebabkan oleh coronavirus lain pada awal tahun 2000-an.

Bagaimanapun, peratusan melibatkan virus ini mempunyai kisah yang berbeza.

Setakat ini lebih 126,100 orang telah dijangkiti di seluruh dunia dan lebih 4,600 meninggal dunia, menurut data Reuters berdasarkan pengumuman kerajaan.

Tanah besar China mempunyai 15 jangkitan baru, turun dari 24 kes sehari sebelumnya, menjadikan jumlahnya mencecah 80,793.

Jumlah kematian 3,169, meningkat 11 dari hari sebelumnya.

Sebaliknya hanya 8,098 orang menderita akibat SARS dan 774 yang terbunuh.

Tetapi kebimbangan utama mengenai penyakit ini adalah betapa mudah dan cepatnya ia tersebar.

Jika anda berada dalam jarak 1.8 meter dari orang yang dijangkiti, anda dianggap berisiko.

Ini menjadikan pengangkutan awam sebagai tempat paling berisiko.

Selain itu, gejala-gejala anda dijangkiti virus ini boleh mengambil masa sehingga 2 minggu untuk muncul.

Ini membuatkan virus baru ini sangat mudah dijangkiti seperti selesema biasa, namun sudah tentunya ia jauh lebih bahaya.

2. Covid-19 lebih berbahaya kepada lelaki

Para saintis di China mendapati bahawa lelaki dan wanita mempunyai kebarangkalian yang sama-sama untuk dijangkiti oleh koronavirus.

Tetapi kadar kematian di China pada kadar 2.8% bagi lelaki berbanding 1.7% bagi wanita.

Ini sekaligus menunjukkan bahawa lelaki lebih cenderung untuk mati apabila dijangkiti.

Ketika ini, tanggapan mengatakan imun wanita lebih kuat daripada lelaki.

Meskipun alasan yang tepat untuk ini masih tidak diketahui, ia dipercayai dikaitkan dengan tahap hormon estrogen yang lebih tinggi pada wanita atau fakta bahawa setiap wanita mempunyai dua kromosom X berbanding dengan satu kromosom X.

3. Mengurangkan pencemaran di China

Para saintis percaya bahawa pengurangan pencemaran udara baru-baru ini di seluruh China dikaitkan dengan usaha untuk mengawal penyebaran Covid-19.

Wabak virus itu yang pertama kali dikesan akhir tahun lalu di wilayah tengah Hubei, menyekat pengangkutan dan pergerakan serta mengganggu aktiviti perniagaan secara besar-besaran di seluruh China.

Dengan jumlah kilang yang beroperasi semakin berkurangan, kereta dan lori di jalan raya, serta pesawat di udara, membuatkan langit lebih bersih.

Menurut NASA, tahap nitrogen dioksida, bahan pencemar yang datang terutamanya dari pembakaran bahan api fosil, turun sebanyak 30%.

4. Senjata biologi oleh China?

Seperti biasa, di mana sahaja ada Internet, di situ akan ada teori konspirasi.

Agak mengejutkan, warga internet mengendalikan pandemik Covid-19 dengan agak matang.

Bagaimanapun, lonjakan kes baru di luar Wuhan, terutama di Korea Selatan dan Itali, menyebabkan ramai orang berasa curiga.

Kematian doktor yang memberi maklumat tentang hal ini juga sangat aneh.

Menurut satu teori, China sendiri yang menghasilkan koronavirus sebagai senjata.

Virus itu kemudian dibebaskan untuk mewujudkan ruang untuk perkembangan pertanian.

Bahkan ahli politik juga mempunyai teori konspirasi, di mana Senator AS Tom Cotton juga menuduh kerajaan China menggunakan taktik yang jahat.

5. Pesakit tidak imun dan boleh dijangkiti kali kedua

Apabila melibatkan koronavirus, anda boleh dijangkiti lagi selepas sembuh daripadanya.

Baru-baru ini, seorang wanita Jepun telah didiagnos dengan Covid-19 untuk kali kedua.

Wanita itu adalah pemandu bas pelancongan di Osaka, yang membuatkannya lebih mudah terdedah kepada jangkitan kerana jumlah orang yang berinteraksi dengannya setiap hari.

Berita itu agak membimbangkan kerana ia meningkatkan kesan potensi penyakit ini.

Tambahan pula, ia menjadikan penghasilan vaksin virus ini menjadi kurang berdaya maju.

Para saintis masih berusaha untuk mengetahui bagaimana koronavirus dapat menjangkiti orang yang sama dua kali.

6. Adakah ia dari kelawar, ular atau tenggiling?

Ketika ini, kita mendengar bahawa penyebab virus ini yang paling mungkin berasal dari kelawar.

China mempunyai reputasi memiliki masakan tempatan yang unik kerana haiwan liar boleh dibeli di pasar dan dimakan.

Antara salah satu hidangan istimewa termasuklah sup kelawar yang lazat (dan agak menyeramkan).

Ahli sains sedang cuba menentukan haiwan mana yang bertanggungjawab memindahkan virus ini kepada manusia, tetapi mereka masih tidak pasti.

Dua penyebab lain yang berpotensi termasuklah ular dan tenggiling.

Tenggiling boleh didapati secara semulajadi di Asia dan Afrika.

Tetapi makhluk ini diperdagangkan di seluruh dunia kerana ia dianggap sebagai makanan yang sangat istimewa.

7. Jenama bir Corona terjejas

Pada logo bir Corona, terdapat logo mahkota dan perkataan “corona” yang membawa maksud “crown” dalam bahasa Sepanyol dan Latin.

Secara tak sengaja, coronavirus mendapat namanya kerana zarah virus tersebut mempunyai duri yang kelihatan seperti mahkota.

Dan ketika virus ini mula-mula muncul, sesetengah orang menjadi keliru dengan mengaitkannya dengan jenama bir Corona.

Mereka juga mungkin percaya bahawa virus ini tersebar dengan meminum bir Corona.

Tidak dapat dipastikan betapa hebatnya impak salah faham ini terhadap penjualan bir Corona kerana terdapat sumber yang berbeza dengan laporan yang berbeza.

Menurut YouGov, sebuah firma penyelidikan pasaran British, tahap populariti jenama ini telah menurun daripada 75 kepada 51 sejak bermulanya tahun 2020.

Walaupun kedengaran seperti kelakar, namun ia benar-benar berlaku.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]