Muhyiddin seru rakyat bertenang, patuh perintah kawalan

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyampaikan perutusan khas ke seluruh negara malam tadi.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggesa rakyat supaya bertenang dan bersabar selepas beliau mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara.

Dalam satu perutusan khas yang disiar secara lansung, beliau berkata perintah kawalan itu dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

“Kita tidak boleh menunggu lebih lama sehingga keadaan menjadi lebih meruncing.

“Tindakan drastik perlu diambil dalam kadar segera untuk menyekat penularan wabak ini dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai,” katanya.

Ujarnya lagi, tindakan itu merupakan langkah tunggal yang diambil untuk mengelakkan lebih ramai rakyat negara ini dijangkiti wabak yang boleh meragut nyawa.

Mengulas lanjut, beliau memberi jaminan bahawa bekalan makanan, keperluan harian dan penjagaan kesihatan, termasuk topeng muka akan mencukupi sepanjang tempoh sekatan berlangsung.

Atas sebab itu, beliau merayu kepada seluruh rakyat agar mematuhi perintah kawalan pergerakan tersebut.

“Ini adalah tanggungjawab kita bersama yang mesti kita laksanakan sebagai rakyat yang prihatin terhadap keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita.”

Beliau berkata, sesi mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan olehnya akan diadakan setiap hari bagi memantau dan memaklumkan kemas kini keadaan dari masa ke masa.

Semua premis perniagaan dan tempat ibadat diarah tutup sementara, walaupun kedai runcit, pasar awam dan kedai barang keperluan akan dibuka sepanjang tempoh sekatan berjalan.

Rakyat Malaysia juga dilarang ke luar negara sementara mereka yang baru tiba dari luar dikehendaki menjalani tempoh kuarantin kendiri selama 14 hari. Pelancong dan pelawat juga dilarang memasuki negara dalam tempoh itu.

Semua sekolah kerajaan dan swasta serta institusi pendidikan juga ditutup dari 18 hingga 31 Mac.

Premis kerajaan dan swasta juga ditutup melainkan yang memberiksan perkhidmatan perlu seperti air dan elektrik, telekomunikasi, pos, pengangkutan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan memaklumkan sebanyak 553 kes jangkitan wabak Covid-19 direkodkan sehingga kini dengan penambahan sebanyak 159 kes hari ini.

Sebarang pertanyaan mengenai perintah sekatan boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Kebangsaan di talian 03-8888-2010 bermula jam 12 tengah hari esok.