Maya Matahari meninggal dunia akibat kanser

Maya yang popular dengan lagu Matahari meninggal dunia akibat kanser. ( Gambar Instagram)

Penyanyi dan penyampai radio, Haiza mengesahkan berita mengenai penyanyi, Maya Ruslee atau Maya Matahari disahkan meninggal dunia hari ini akibat kanser.

Memetik laporan media Harian Metro, Haiza ketika dihubung berkata, dia masih menunggu maklumat terkini mengenai jenazah arwah.

“Saya dapat panggilan daripada Kak Ieda (Moin) yang memaklumkan mengenai berita ini. Setakat ini, saya dimaklumkan jenazah arwah berada di Sungai Buloh, namun belum tahu di mana lokasinya secara spesifik,” katanya.

Menurut Haiza, dia tahu bahawa rakannya itu menghidapi kanser dan menjalani rawatan di China.

“Dia tak banyak berkongsi mengenai penyakitnya. Yang saya tahu, dia menghidap kanser sejak dia menyertai Gegar Vaganza musim kelima lagi pada 2018 dan baru saja pulang dari China selepas menjalani rawatan di sana.

“Kali terakhir saya bertemu dengan arwah ketika dia dimasukkan ke Hospital Pantai Kuala Lumpur di Bangsar pada penghujung tahun lalu dan sejak itu, selalu berhubung menerusi telefon,” katanya.

Maya atau nama sebenarnya Myanaliza Ruslee popular menerusi beberapa lagu antaranya Matahari dan Diari Biru sekitar 1990-an dan kembali membuat kemunculan semula selepas menyertai program Gegar Vaganza.

Beliau menceburi bidang seni apabila mula melancarkan album pertama beliau pada 25 Mac 1995 yang berjudul “Matahari” dengan lagu popular yang bertajuk sama.

Dua buah album kemudian menyusul dalam kerjaya seni beliau iaitu “Diari Biru” dan “Mata”.

Selain itu, beliau turut menceburi bidang lakonan sama ada layar perak dan pementasan.

Selepas kejayaan beliau berlakon dalam filem Gemerlapan pada tahun 1997, diberi peluang berlakon teater Nyiur Gading Puncak Mahligai, Uda & Dara, Seruan Damai dan Hotel Malaya serta banyak lagi drama dan sitkom televisyen.

Beliau pernah berkahwin pada 26 Jun 2009 dengan kerabat di raja Pahang, Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz dan perkahwinan mereka hanya bertahan sehingga Ogos 2015 tanpa sebarang cahaya mata.

Pada 2018, beliau membuat kemunculan kembali dengan lagu terbaru “Perlu Ada Setia” dan pada masa yang sama menjadi peserta Gegar Vaganza musim yang kelima.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]