PH usul moratorium 3 bulan pinjaman bank elak ‘keruntuhan sistemik’

PETALING JAYA: Pakatan Harapan mengusulkan moratorium 3 bulan bagi semua pembayar pinjaman untuk melindungi pekerjaan dan menyelamatkan perniagaan, mengatakan bank berperanan menjamin keberlansungan perniagaan dan pekerja untuk mengelakkan “keruntuhan sistemik”.

“Kadar keuntungan yang besar membolehkan bank menampung kerugian mereka,” kata majlis presiden gabungan itu dalam kenyataan hari ini.

Moratorium itu diusulkan bersama 3 langkah lain, mengatakan penting untuk kerajaan beri jaminan keselamatan ekonomi buat pekerja dan perniagaan dalam masa krisis Covid-19.

“Walaupun dengan niat baik, pelaksanaan kawalan perintah pergerakan secara tiba-tiba di seluruh negara menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai dan mewujudkan kelompongan ekonomi,” kata kenyataan itu, yang ditandatangani Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Selain itu, PH menggesa kerajaan melaksanakan pengecualian bayaran cukai dan lesen untuk 3 bulan akan datang bagi perusahaan kecil dan sederhana, di samping memudahkan pinjaman untuk membolehkan pekerja dan perniagaan bertahan.

Kadar pembiayaan Kemudahan Bantuan Khas yang disediakan untuk mengurangkan kejutan Covid-19 adalah pada 3.75%, kata gabungan itu.

“Bank Negara harus menyediakan dana pinjaman tanpa faedah untuk memudahkan modal kerja selagi diperlukan untuk semua sektor ekonomi,” katanya.

“Sekiranya langkah-langkah ini tidak mencukupi, pembayaran secara langsung hendaklah dikeluarkan,” katanya.

PH juga mengusulkan bantuan tunai segara sebanyak RM600, kepada pekerja berpendapatan bawah RM4,000 yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk tempoh maksimum 6 bulan, serta kepada pekerja dalam ekonomi gig dan pekerja harian yang hilang punca pendapatan.

PH menambah yang bantuan lebih menyeluruh perlu untuk membantu pekerja yang bekerja di Singapura yang tidak boleh bekerja kerana perintah kawalan pergerakan, yang kemungkinan tidak mendapat gaji, diberhentikan kerja, atau perlu mencari penginapan di republik itu.

Usul ini di samping bayaran RM300 kepada penerima Bantuan Sara Hidup pada Mac yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

“Melengkapkan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan pada 27 Feb 2020,” katanya.

Selain itu, PH mengusulkan insentif tambahan dan kemudahan bagi menyokong penjawat awam yang menjalankan tugas berisiko melawan pandemik Covid-19.