Saya juga berkurung di rumah, Dr M nasihati rakyat patuh perintah kawalan pergerakan

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah kerajaan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan adalah untuk kebaikan semua dan menepati ajaran agama.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad menasihati rakyat Malaysia supaya terus berdisiplin mematuhi perintah kawalan pergerakan.

Beliau berkata, pematuhan langkah yang diambil kerajaan itu adalah bagi mengurangkan potensi wabak Covid-19 merebak kepada orang lain.

“Saya patuh kerana ia amat penting dalam menangani masalah ini. Kita berdisiplin, sanggup berkurung di rumah selama 14 hari.

“Ini pengalaman saya sekarang ini terkurung di rumah. Tak boleh keluar, tak boleh jumpa, salam orang dan macam-macam. Tetapi alhamdulilah tak begitu berat bagi saya,” katanya dalam satu klip video yang disiarkan di TV3.

Semalam Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin merayu orang ramai tidak balik ke kampung sepanjang perintah kawalan pergerakan selama 2 minggu bermula hari ini hingga 31 Mac depan.

Selasa lalu, ramai pelajar universiti pulang ke kampung selepas pihak pentadbir universiti mengumumkan penutupan asrama.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) kemudiannya berkata, asrama akan terus dibuka, tetapi ramai pelajar yang sudah pulang ke kampung masing-masing berikutan pengumuman pertama.

Polis juga menarik balik arahan meminta orang ramai mengisi borang di balai polis terdekat sebelum balik ke kampung. Tindakan itu menyebabkan kesesakan serius di luar beberapa balai polis di Lembah Klang.

Dalam pada itu, Mahathir berkata semua pihak mesti mengambil sikap berjaga-jaga dan mengawal diri sepanjang 14 hari tempoh perintah kawalan pergerakan.

Katanya, langkah itu adalah untuk kebaikan dan menepati ajaran agama.

“Kita perlu berusaha sendiri sebelum doa dan solat kita di makbulkan Allah,” katanya.

Mahathir juga menasihatkan semua pihak tidak balik kampong, tetapi terus tinggal di tempat mereka berada pada masa ini.

Beliau berkata, ini dapat mengelakkan virus Covid-19 “dibawa” ke kampung halaman mereka.

“Kalau balik ke kampung seolah-olah kita bercuti dan kita bawa penyakit ke kampung.

“Di kampung juga kena jaga diri. Tinggal di mana kita tinggal dan jangan keluar. Asingkan diri dari orang lain,” katanya.

Malaysia mencatatkan 100 kes baru Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan pesakit setakat ini 900 orang, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba pada satu sidang media di Putrajaya.

Katanya, 63 daripada kes terbaru yang dicatatkan mempunyai kaitan dengan perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur awal bulan ini.

Adham berkata, 20 pesakit kini ditempatkan di wad rawatan intensif (ICU).

Katanya, 15 pesakit sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan kesemuanya 75 kes pulih setakat ini.