
Beliau berkata, selaras dengan perintah kawalan yang berkuat kuasa mulai semalam hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19, solat Jumaat tidak diadakan esok.
“Patuhilah arahan yang dikeluarkan dan gantilah solat Jumaat dengan solat Zohor di rumah masing-masing bersama keluarga,” katanya dalam khidmat pesanan awam yang disiarkan di televisyen hari ini.
Jelasnya arahan tersebut selari dengan langkah yang diambil di beberapa negara Islam lain, seperti Arab Saudi dan Kuwait.
“Hampir keseluruhan bersetuju dalam kes seperti ini dan semua pihak hendaklah mematuhi perintah yang ditetapkan pemerintah.
“Sekali lagi pesan saya, solatlah Zohor di rumah, insyaAllah ada hikmahnya,” katanya.
Pada Isnin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Malaysia mengenakan perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara, bagi mengekang penularan Covid-19.
Ini adalah kali pertama dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu.
Sebanyak 110 kes baru positif COVID-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari hari ini, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 900 kes, dengan negara mencatatkan 2 kematian pertama pada Selasa.