Sabah catat kematian pertama Covid-19, ke-3 di seluruh negara

Mangsa yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Tawau petang ini merupakan seorang peserta yang menghadiri himpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur hujung bulan lepas. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan kematian pertama akibat Covid-19 selepas kematian lelaki berumur 58 tahun di Tawau hari ini.

Beliau merupakan salah seorang peserta yang menghadiri satu himpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur hujung bulan lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan kematian tersebut di laman Facebook beliau hari ini.

Katanya, lelaki tersebut, iaitu Kes 152, meninggal dunia pada jam 6.27 petang di Hospital Tawau.

Ini merupakan kematian ke-3 akibat Covid-19 di negara ini.

Hisham berkata, lelaki itu dimasukkan ke hospital pada 9 Mac kerana jangkitan pernafasan akut teruk.

“Beliau telah diberi bantuan mesin pernafasan dan dimasukkan ke wad unit rawatan rapi (ICU) pada hari yang sama. Kesihatan beliau merosot hari demi hari dan disahkan meninggal dunia pada 20 Mac jam 6.27 petang,” katanya.

Mangsa terbaru merupakan individu kedua yang dikaitkan dengan himpunan tersebut.

Pada Selasa, seorang lelaki berusia 34 tahun yang turut menghadiri himpunan itu meninggal dunia di Johor Bahru.

Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan 130 kes terbaru Covid-19 dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif 1,030 kes.

48 daripada kes terbaru hari ini berkait dengan himpunan tabligh.