Rumah agam Jho Low dijual separuh harga RM81 juta

Rumah agam seluas 13,000 kaki persegi dilengkapi 6 bilik tidur dan 7 bilik air. (Gambar realtor.com)

PETALING JAYA: Sebuah rumah agam di Hollywood Hills, Los Angeles yang dimiliki ahli perniagaan buruan Jho Low dijual dengan harga AS$18.5 juta (RM81.3 juta) atau lebih separuh harga yang beliau bayar untuk rumah tersebut.

Low membayar AS$38.98 juta (RM171 juta) untuk rumah itu, “mentakrifkan semula rumah yang boleh dijual di kejiranan dihuni selebriti”, menurut akhbar Los Angeles Times.

Rumah itu disita Jabatan Kehakiman AS di bawah undang-undang anti pengubahan wang haram. Low dikatakan membeli rumah tersebut dengan wang yang diseleweng dari 1MDB.

Rumah itu dijual selepas disenaraikan selama setahun, di bawah perjanjian persetujuan yang dicapai antara pihak berkuasa persekutuan AS dan Low. Harga jualan tersenarai ialah AS$24.5 juta (RM107 juta).

Bahagian luar rumah agam tersebut. (Gambar realtor.com)

Low menjadi terkenal di AS selepas dia bergambar di pesta champagne bersama selebriti Paris Hilton dan sebagai penyokong filem Martin Scorsese, The Wolf of Wall Street.

Rumah itu asalnya dimiliki pelakon veteran Mexico, Ricardo Montalbán.

Ia terletak di sebidang tanah lebih 1 hektar (0.4 hektar). Selain rumah, terdapat 4 garaj kaca, sebuah rumah tumpangan, kompleks spa dan kolam renang, lapor LA Times.

Bagaimanapun, LA Times juga berkata rumah itu memerlukan baik pulih sepenuhnya.